fbpx

Cuba rayu bantuan dunia padam kebakaran tangki minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Api marak dapat dilihat selepas dua tangki minyak di Matanzas disambar petir pada petang Sabtu. - YAMIL LAGE

HAVANA – Pemerintah  Cuba merayu bantuan masyarakat antarabangsa bagi membantu memadamkan kebakaran besar tangki simpanan minyak  sebuah pelabuhan di negara berkenaan akibat panahan petir, lapor stesen penyiaran NDTV, kelmarin.

Insiden tersebut setakat ini menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh, 112 mangsa cedera dan 17 anggota bomba hilang.

Pegawai kesihatan tempatan, Luis Armando Wong memberitahu sidang akhbar petang kelmarin  bahawa mayat pertama  ditemui di lokasi kebakaran.

Lima orang cedera parah dengan tiga yang lain berada dalam keadaan kritikal  di hospital.

Mereka yang cedera termasuk Menteri Tenaga Cuba, Livan Aronte.

Pejabat Presiden menyatakan, 17 anggota bomba yang dilaporkan hilang adalah petugas paling hampir dengan kebakaran di zon perindustrian Matanzas.

“Cuba meminta bantuan dan nasihat dari negara-negara  sahabat yang berpengalaman dalam bahan api untuk membantu memadamkan kebakaran,” demikian menurut pejabat Presiden dalam satu kenyataan.

Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Mexico, Venezuela, Russia, Nicaragua, Argentina dan Chile kerana menawarkan bantuan segera terutama dari segi material.

“Kami juga menghargai tawaran nasihat teknikal daripada Amerika Syarikat (AS),” tambahnya.

Dalam pada itu, Kedutaan AS di Havana berkata,  undang-undang AS memberi kuasa kepada entiti dan organisasi negara tersebut untuk memberikan bantuan dan tindak balas bencana di Cuba.

Sebagai rekod, AS mengenakan sekatan terhadap negara komunis satu parti itu sejak enam dekad lalu.

Diaz-Canel berkata, operasi memadamkan kebakaran akan mengambil masa,  manakala Pengarah Kesatuan Minyak Cuba (CUPET), Asbel Leal memberitahu, negara itu tidak pernah mengalami kebakaran dahsyat seperti itu.

Menurut CUPET, tangki pertama mengandungi kira-kira 26,000 meter padu minyak mentah, kira-kira separuh daripada kapasitinya apabila dipanah petir.

Tangki kedua mengandungi 52,000 meter padu minyak bahan api. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI