fbpx

Jatuh terlentang selepas raptai, Aishah bukti kekal hebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AISHAH memukau peminat dengan persembahan cemerlang di DFP malam tadi.

KUALA LUMPUR – Meskipun mengharungi pelbagai dugaan, penyanyi Datuk Aishah berjaya memukau penonton dengan vokal  lunaknya menerusi konsert Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), malam tadi.

Diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 57, meluahkan rasa lega selepas penantian selama 36 tahunnya berakhir.

“Cukup jauh perjalanan saya untuk tunaikan konsert ini. Sudahlah tertunda dua tahun kerana pandemik, dijangkiti pula virus Covid-19 sebanyak dua kali sehingga merosakkan 20 peratus paru-paru saya.

“Sewaktu habis raptai dua hari sebelum konsert, saya jatuh terlentang apabila sampai di hotel. Nasib baik tiada sebarang kecederaan serius dan saya dapat menghiburkan peminat di sini,” ujarnya kepada penonton.

Dalam pada itu, Aishah turut mendedahkan impiannya terlaksana selepas berjaya mengadakan sebuah konsert di tempat berprestij seperti DFP bersama pasukan orkestra.

“Selepas 36 tahun menyanyi, impian saya untuk mengadakan konsert dengan pasukan orkestra penuh menjadi realiti. Tidak mudah, tetapi saya bersyukur dan berterima kasih dengan peluang yang diberikan,” katanya lagi.

Lincah dan bertenaga sambil sesekali mencuit hati penonton dengan biacaranya, Aishah sememangnya berada di kelas yang tersendiri apabila berjaya menyanyikan lebih 25 buah lagu yang diberi nafas baru tanpa sebarang masalah.

Antara lagu yang dipersembahkan adalah, Camar Yang Pulang, Janji Manismu, Bahtera Merdeka, All By Myself, Kau Pergi Tanpa Pesan, Bayangan dan Kemaafan Dendam Yang Terindah.

Enggan menghampakan peminat, Aishah juga sempat ‘belanja’ penonton dengan lagu raya berhantunya, Pulanglah secara acapella.

Seluruh perut dewan bergema dengan paduan vokal peminat yang tidak mahu ketinggalan mencipta memori manis bersama penyanyi kesayangan mereka.

Ironinya, selain konsert Aishah di DFP, dua lagi konsert turut berlangsung pada malam tadi iaitu Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Queen Of The Night Siti Nurhaliza di Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Biarpun begitu, Aishah memiliki pencintanya yang tersendiri apabila jualan tiket konsertnya ‘sold out’.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI