TIGA tahun selepas menjadi sebahagian daripada program Big Stage musim kedua (2019), karier penyanyi dangdut dari negara seberang, Dinda Permata tak begitu memberangsangkan.
Bukan kerana tuah tidak menyebelahi tetapi situasi dunia yang diserang Covid-19 merencatkan segala-galanya. Sehingga memaksa penyanyi itu ‘terjerat’ di negara sendiri.
Belum sempat mengadakan promosi berhabis-habisan untuk single Syarat Bahagia hasil ciptaan Amylea Azizan dan Farouk Roman usai Big Stage berakhir, Dinda akur apabila harus menetap di Indonesia dek pandemik.
Luahnya, ada terbuku perasaan sedih dan rugi memikirkan tiada kesempatan buatnya merencana perjalanan karier di negara ini dengan bersungguh-sungguh namun semuanya berbalik kepada rezeki.
“Memang rasa rugi tapi nak buat macam mana, musibah terjadi kan. Saya tak sempat buat promosi, balik ke Indonesia, terus Covid-19. Jadi ini masa terbaik untuk tebus waktu lalu dengan kemunculan semula saya di sini,” ujar Dinda.
Pejam celik, waktu sukar sudah berlalu. Pintu sempadan negara juga sudah dibuka. Maka peluang untuknya kembali ke negara ini akhirnya menjadi nyata.
Bukan tak mahu meneruskan karier seni di negara sendiri, tetapi Dinda punya alasan muktamad mengapa mahu meluaskan pengaruh di sini.
Selain atas faktor sudah memperkenalkan diri apabila berjaya menjadi peserta Big Stage, ujar Dinda, alasan utamanya adalah kesukaran mencari tempat untuk bersaing di negara sendiri.
“Sekarang saya sudah berhijab. Jadi untuk meneruskan karier sebagai penyanyi dangdut di sana agak terhad.
“Saya perlu ‘fight’ dengan orang lain. Contohnya macam penyanyi lain yang sudah popular dan ada nama kemudian berhijab, itu tiada masalah bagi mereka.
“Sementelah saya ini boleh dikatakan masih baharu, jadi situasinya agak sukar,” ujar Dinda.

Putus asa
Penyanyi itu mula mengenakan hijab sekitar setahun lalu sebelum beberapa bulan kemudian mendirikan rumah tangga dengan seorang pemuzik dikenali sebagai Rizal.
Akui Dinda atau nama lengkapnya Adinda Permata Suci Nababan, berhijab bukan sesuatu yang mudah kerana di sebalik keputusan diambil, dia berdepan risiko kehilangan tawaran kerja.
“Sesudah berhijab, ada bermacam perkara yang saya lalui. Paling teruk, banyak tawaran kerja dibatalkan hanya kerana saya berhijab.
“Sejujurnya saya rasa ‘hopeless’ di sana. Tiada ruang yang luas untuk saya ke depan. Berbeza dengan Malaysia, di sini tiada masalah langsung kalau bertudung. Malah lebih baik sebenarnya,” ujarnya.
Keputusan berhijab sudah lama ada dalam hatinya tetapi sebelum ini, hasrat tersebut terhalang dek banyak hal, terutama soal kerjaya.
Akhirnya selepas difikirkan secara mendalam, hasrat tersebut dilunaskannya selepas beberapa bulan bergelar isteri.
“Sebenarnya saya sudah lama ingin berhijab tetapi baru tahun lepas impian ini dilunaskan.
“Ironinya, pasaran di Indonesia tidak begitu meraikan penyanyi dangdut berhijab.
“Orang pertikaikan mengapa sudah berhijab tapi masih menyanyi dangdut. Sebab itu saya nekad kembali ke Malaysia biarpun terpaksa berulang-alik demi kelangsungan karier. Di sini, auranya berbeza. Saya rasa diterima,” katanya.

Kematian
Saat artikel ini diterbitkan, mungkin ada yang baru saja mengetahui Dinda sudah berubah penampilan.
Ditebak tentang imej baharunya yang manis bertudung, ada berbagai rasa yang menyelinap dalam sanubarinya tatkala memberi jawapan.
Ketika bahagia menjalani fasa baharu, penyanyi berusia 30 tahun itu membuka rahsia, bagaimana hatinya terdetik melakukan perubahan.
Kata penyanyi kelahiran Medan itu, kematian rakan-rakan dan orang terdekat sepanjang dan selepas pandemik menjadi asbab bermulanya perubahan diri. Dia khuatir memikirkan giliran diri sendiri.
“Saya lalui banyak kehilangan apabila ramai kawan meninggal dunia. Ada yang sakit, ada juga yang pergi secara tiba-tiba.
“Situasi itu membuatkan saya jadi khuatir, entah esok lusa giliran saya. Jadi saya persiapkan diri sebab takut, kematian tidak mengira umur.
“Sekali pun penghijrahan saya belum cukup sempurna, tapi saya tetap berusaha tutup aurat,” ujarnya yang mengakui masih dalam proses untuk menutup aurat dengan baik.

Promosi
Sekembalinya di Malaysia, Dinda sudah mempersiapkan perancangan terbaik apabila menjadualkan peluncuran sebuah lagu baharu tidak lama lagi.
Belum melakukan proses rakaman, tetapi Dinda berharap lagu berkenaan akan menjadi titik awal untuk kembali diingati peminat muzik di sini.
“Sebelum ini saya keluarkan lagu balada, Syarat Bahagia. Sekarang saya tukar sedikit dengan buat lagu rancak.
“Demo lagu sudah ada tetapi belum rakam. Sebab sekarang saya sedang sibuk siapkan perihal visa kerja,” katanya.
Sebelum menutup perbualan, Dinda sempat berkongsi rencana lain apabila merancang membuat program masakan sendiri menerusi saluran YouTube.
“Sejak berkahwin, saya suka memasak. Insya-Allah saya akan buat satu program memasak untuk disiarkan dalam YouTube,” tutupnya.
















