fbpx

Mahkamah: Najib ikrar aset dimiliki RM4.49 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengikrarkan di mahkamah bahawa beliau mempunyai aset yang sebanyak RM4.49 juta.

Antara aset-aset itu ialah Amanah Saham Nasional Berhad, beberapa lot tanah dan rumah serta kereta mewah jenama Mercedez-Benz dan Bentley Continental Flying Spur.

Najib mendedahkan aset-asetnya itu selepas SRC International Sdn. Bhd. dan sebuah anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd selaku plaintif dalam kes saman terhadap Najib selaku defendan memperoleh perintah injunksi mareva daripada Mahkamah Tinggi di sini untuk menghalang beliau daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya bernilai sehingga RM42 juta.

Injunksi mareva adalah perintah sementara yang mengekang Najib selaku defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Sebelum ini, pada 24 Mac lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Arief Emran Arifin yang membenarkan permohonan SRC dan Gandingan Mentari dalam saman SRC ke atas Najib turut mengarahkan Ahli Parlimen Pekan itu, mendedahkan kepada peguam SRC secara bertulis aset beliau di dalam atau di luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta dalam tempoh 30 hari selepas perintah itu diserahkan kepadanya.

Selain tidak boleh mengalih, melupus, mengendali atau mengurangkan nilai asetnya di dalam dan di luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta, Najib juga perlu mendedahkan secara bertulis aset beliau di dalam atau di luar negara bagi jumlah yang sama.

Bagaimanapun, Najib dibenarkan untuk mengeluarkan dan membelanjakan wang daripada sebuah akaun bank atau sumber lain tidak melebihi RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan guaman.

Berdasarkan dokumen diperoleh pihak media hari ini, Najib, 69, mendedahkan aset yang dimilikinya sehingga 30 Jun tahun ini di dalam afidavit tambahan yang difailkannya pada 20 Julai lepas menerusi Tetuan Shafee & Co.

Antara aset yang dimilikinya ialah beberapa lot tanah dan rumah di Pekan, Kuantan, Bentong dan Genting Highland, Pahang serta di Semenyih, Selangor keseluruhannya bernilai RM460,987.

Selain itu ialah lima buah kenderaan mewah jenis Mercedez-Benz dan Bentley Continental Flying Spur yang mana empat daripadanya adalah hadiah daripada besannya dari Kazakhstan, sebuah motosikal Honda EX-5 dan motosikal Kawasaki ZG (diperoleh sebagai hadiah), yang keseluruhannya bernilai RM252,000.

Najib turut mendedahkan beliau mempunyai wang RM1.24 juta di dalam akaun sebuah bank dan wang deposit pelaburan Amanah Saham Nasional Berhad berjumlah RM2.52 juta.

Sementara itu, Najib menerusi afidavit yang difailkan pada 25 April lepas mengesahkan beliau tidak mempunyai sebarang aset berjumlah RM42 juta.

Dalam pada itu, peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menarik balik permohonan untuk menangguhkan kes sivil tersebut.

“Hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan untuk penangguhan prosiding tetapi hari ini kami telah menarik balik permohonan tersebut, ” kata Muhammad Farhan.

Kes itu kemudian ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Oktober ini.

Pada 7 Mei 2021, SRC International dan Gandingan Menteri memfailkan writ saman terhadap Najib mendakwa beliau telah melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.

SRC juga mendakwa Najib dalam kapasitinya selaku perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC ketika itu bertindak secara tidak jujur dalam membantu bekas pengarah SRC dan bekas pengarah GMSB dalam melanggar pelbagai kewajipan statutori dan melakukan pecah amanah apabila gagal untuk memeriksa dengan pihak Bank AmIslamic mengenai jumlah penyelewengan yang dimasukkan ke dalam akaun-akaun bank Najib.

Oleh itu, plaintif antara lain menuntut deklarasi bahawa plantif berhak mengikuti dan mengesan wang RM42 juta itu dan menuntut hak milik ekuiti ke atas wang tersebut atau sebarang harta yang diperoleh Najib dengan menggunakan wang berkenaan selain menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI