SEBAGAI peminat animasi robot Transformers, Muhammad Zahin Fakhri Abdul Rahim, 24, akan cuba memenuhi minatnya itu dengan tidak melepaskan peluang untuk menonton apa sahaja siri animasi atau filem berkaitan dengannya.
Kebetulan pada bulan Jun lalu, terdapat sebuah pameran animasi tersebut yang berlangsung di pusat beli-belah Mydin Bukit Mertajam di Seberang Perai Tengah, Pulai Pinang lantas dia tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke pameran tersebut.
“Saya memang meminati siri Transformers sejak kecil. Bermula daripada menonton siri kartun dan animasi, sehinggalah kepada filem aksi Transformers yang ditayangkan beberapa tahun sebelum ini.
“Bagi saya, siri Transformers mempunyai keunikannya yang tersendiri berbanding siri robot lain yang turut ditayangkan menerusi kartun, animasi dan filem.
“Apa yang membuatkan saya kagum ialah apabila kesemua robot-robot siri Transformers ini boleh berubah bentuk daripada sebuah robot kepada pelbagai jenis bentuk, khususnya kenderaan,” katanya yang berkunjung ke pameran itu bersama rakan-rakannya.
Muhammad Zahin merupakan antara pengunjung yang begitu teruja meluangkan masa melihat setiap ruang Pameran Pengumpul Koleksi Transformers sepanjang dua hari pameran itu berlangsung iaitu pada 25 dan 26 Jun lalu di pusat beli-belah berkenaan.
Pameran yang digerakkan oleh kumpulan pengumpul siri animasi Transformers dari Pulau Pinang itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Gerakan Belia 4B Negeri Pulau Pinang, Mohd. Hilmi Elias.
Bagi seorang pemilik koleksi yang turut terlibat dengan pameran tersebut, Abdul Hakim Mohd. Zolkepli, 40, berkata, dia telah membawa sebahagian daripada hampir 1,000 koleksi siri Transformers miliknya untuk dipamerkan pada program tersebut.

ABDUL HAKIM kini memiliki lebih 800 koleksi pelbagai watak Transformers dengan kesemuanya disimpan di dalam sebuah bilik khas di rumahnya.
Malah jelasnya, bagi menarik minat pengunjung yang juga meminati watak animasi tersebut, dia turut membawa koleksi paling berharga yang dimilikinya iaitu watak MegaZarak dari siri Transformers Headmaster.
“Selain pelbagai koleksi watak Transformers, saya juga membawa kad-kad biodata watak Transformers dan token keluaran terhad yang hanya dikeluarkan bagi figura tertentu untuk dipamerkan kepada pengunjung.
“Sekiranya saya mempunyai lebih daripada satu koleksi untuk satu-satu watak, saya akan membawa kesemuanya untuk dijual kepada pengunjung yang meminatinya,” katanya yang sudah menjadi pengumpul koleksi Transformers sejak tahun 1990.
Sehingga kini, dia telah memiliki lebih 800 koleksi pelbagai watak Transformers dengan kesemuanya disimpan di dalam sebuah bilik khas di rumahnya.
Sementara itu, penganjur pameran, Muhammad Anis Fakhri Mohd. Nesfu berkata, pameran tersebut diadakan bertujuan memberi peluang kepada peminat animasi tersebut khususnya dari Pulau Pinang untuk melihat secara dekat koleksi yang dimiliki oleh para pengumpul.
Malah, dia yang juga merupakan salah seorang pempamer pada program itu berkata, pameran tersebut turut diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-38 Transformers oleh pengumpul dan peminat siri animasi itu di negeri tersebut.
Jelasnya, sebanyak kira-kira 400 koleksi animasi Transformers daripada siri filem, animasi, kartun dan edisi khas telah dipamerkan sepanjang dua hari program itu berlangsung.

PELBAGAI Jenis koleksi robot animasi Transformers dapat disaksikan dalam pameran yang diadakan selama dua hari itu.
“Selain robot-robot daripada siri animasi dan filem, koleksi daripada siri terhad Haslab Transformers War For Cybertron Unicron yang berketinggian lebih 27 inci (68 sentimeter) dan hanya terdapat 10,000 unit di dunia turut dipamerkan.
“Malah, pengunjung juga berpeluang menyaksikan robot edisi terhad Hasbro Robosen Transformers Optimus Prime yang boleh berubah bentuk daripada robot kepada lori, dan sebaliknya secara automatik menggunakan arahan suara dan aplikasi khas,” katanya.
Menurut Muhammad Fakhri lagi, selain pameran, pihaknya turut mengadakan beberapa aktiviti sampingan bagi memeriahkan program termasuklah pertandingan transformasi robot Transformers, persembahan maskot Transformers Autobot Optimus Prime selain jualan koleksi Transformers.
Malah, terdapat juga aktiviti yang melibat pengunjung kanak-kanak seperti sesi mewarna, selain pertandingan kuiz, sesi bercerita selain persembahan gitar elektrik mendendangkan lagu tema Transformers.















