fbpx

Terima kasih untuk semuanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keluarga bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa membantu mereka.

SHAH ALAM – Keluarga bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa membantu mereka termasuk dalam proses pengebumian hari ini.

Anak kepada Allahyarham, Muhammad Ali Iqbal berkata, mereka sekeluarga menjunjung kasih yang tidak terhingga di atas limpah kurnia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan Allahyarham ayahnya disemadikan di Makam Di Raja Shah Alam.

Katanya, junjung kasih juga kepada Sultan Selangor yang telah sudi mencemar duli memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

“Terima kasih tidak terhingga juga kepada seluruh rakyat jelata yang telah tidak putus-putus mendoakan ayahanda saya sejak berita beliau dimasukkan ke hospital tersebar.

“Terima kasih di atas sokongan dan kata-kata semangat yang diberikan, semoga Allah SWT membalas kebaikan tuan-tuan dan puan-puan sekalian dengan segala kebaikan di dunia dan di akhirat,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi Abdul Khalid Ibrahim.

Muhammad Ali turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Hospital Cardiac Vascular Sentral yang telah merawat dan memberikan perkhidmatan sepanjang ayahnya berada di hospital sejak 23 April yang lalu.

“Tidak lupa kepada Ahli Jawatankuasa dan seluruh qariah Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara dan Masjid Negeri Shah Alam dan warga kerja di Makam Di Raja Shah Alam yang telah mengurus pengebumian ayahanda saya,” jelasnya.

Justeru, Muhammad Ali memaklumkan pihaknya memohon dihalalkan segala yang telah diterima Allahyarham.

“Maafkan ayahanda kami jika beliau ada melakukan kesalahan samada secara sengaja mahupun yang secara tidak sengaja telah menyinggung mana-mana pihak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI