fbpx
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memeriksa perbarisan pada Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan 2022, di Dataran Pahlawan Putrajaya - Foto SHIDDIEQIIN ZON

Hari Pahlawan 2022 disambut penuh istiadat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Setelah tiga tahun ditangguhkan susulan jerebu dan penularan Covid-19, Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan Tahun 2022 kali ini disambut dengan penuh meriah dan istiadat di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya di sini hari ini.

Majlis bermula seawal pukul 8.30 pagi dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Pentas Diraja.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut dengan alunan lagu ‘Negaraku’ sebelum baginda memeriksa barisan kawalan kehormat utama dengan diiringi 21 das Tembakan Meriam Kehormatan yang disempurnakan 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja diketuai Leftenan Kolonel Mohd Asri Che Wil.

Dalam istiadat perbarisan berkenaan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggunakan konsep perbarisan statik melibatkan enam detasmen iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Kontinjen Pesara Polis dan Bekas Polis Malaysia (PBPM).

Perbarisan diketuai Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD), Leftenan Kolenal Muhammad Ikhwan Hussin.

Penglibatan keseluruhan pasukan dalam istiadat ini adalah seramai 66 pegawai dan 1,055 anggota lain-lain pangkat dari ATM dan PDRM manakala kekuatan anggota perbarisan melibatkan 54 pegawai dan 830 anggota lain-lain pangkat dari ATM.

Ia turut melibatkan empat pegawai dan 82 anggota PDRM serta 152 veteran dari Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM).

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan isteri, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin..-KOSMO! ONLINE

POPULAR