fbpx
Ismail Sabri ketika berucap menyampaikan perutusan khas bersempena sambutan Maal Hijrah Tahun 1444H/2022M yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen sebentar tadi.

Kelulusan RUU Anti Lompat Parti terjemahan semangat Tasamuh – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan keputusan ahli Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Rang Undang Undang (RUU) Perlembagaan Berkenaan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti semalam sebagai satu terjemahan kepada semangat Tasamuh.

Ismail Sabri berkata, semangat Tasamuh telah diterjemahkan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat semalam apabila mereka sanggup mengetepikan perbezaan fahaman politik dan sebulat suara meluluskan RUU tersebut demi Keluarga Malaysia.

“Semangat Tasamuh ini telah dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W semasa membangunkan kota suci Madinah di mana golongan Ansar dan Muhajirin menzahirkan sifat toleransi yang melahirkan masyarakat berkasih sayang, merentasi kaum dan warna kulit.

“Justeru, sikap toleransi atau berlapang dada bukan hanya membolehkan kita untuk terus membangun sehingga dihormati, tetapi ia juga dapat mengelakkan kita daripada perbalahan yang sia-sia dan merugikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Perutusan Khas Perdana Menteri bersempena sambutan Maal Hijrah Tahun 1444H/2022M yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen sebentar tadi.

Ujar beliau, tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’ bersesuaian dengan latar kehidupan kita pada hari ini selepas lebih dua tahun berjuang memerangi krisis berkembar kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19.

Menurut Perdana Menteri, Maal Hijrah bukan sekadar menghayati penghijrahan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dari kota suci Mekah ke kota Madinah bagi menyebarkan syiar Islam, tetapi ia mempunyai pengertian yang lebih besar.

“Hijrah dalam konteks hari ini adalah berusaha untuk mengubah diri menjadi individu yang lebih baik dan bermanfaat kepada orang lain.

“Dalam ruang lingkup tugas tersendiri, kita semua bertanggungjawab memastikan hubungan sesama anggota masyarakat berjalan atas prinsip keterangkuman, kebersamaan, dan kesyukuran sepertimana yang ditekankan dalam konsep Keluarga Malaysia,” ujar beliau.

Jelas beliau, nilai-nilai tersebut amat penting untuk rakyat Malaysia apabila berhadapan dengan cabaran yang tidak pernah berlaku dalam sejarah sehingga menyebabkan kita terpaksa bergelut untuk menanganinya.

“Alhamdulillah atas usaha dan kebersamaan, impak daripada krisis yang dihadapi seluruh dunia pada hari ini dapat kita lalui biarpun kesannya tetap dirasai.

“Peristiwa Hijrah juga mengajar kita supaya bersedia untuk berdepan dengan sebarang cabaran atau kemungkinan. Dengan keadaan itu, kita dapat bersiap siaga sekiranya sebarang peristiwa buruk berlaku,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, rakyat Malaysia diseru agar menerapkan nilai-nilai peristiwa Hijrah agar ia menjadi pemangkin kepada kemakmuran negara dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Saya dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1444 kepada seluruh Keluarga Malaysia yang beragama Islam, di mana jua anda berada.

“Raikanlah tahun baharu ini dengan semangat dan kekuatan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran demi kemaslahatan ummah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR