fbpx

Farra Ahmad, ‘koyak’, menangis dalam studio

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARRA AHMAD

NAMANYA masih terlalu hijau, namun pucuk muda itu menanam matlamat besar sebagai anak seni. Bagi dirinya, melangkahkan kaki ke bidang ini bererti memperjudikan nasib untuk mempertaruhkan apa sahaja bakat yang dimiliki.

Farra Ahmad, 25, atau nama sebenarnya Siti Farah Najihah Ahmad Damanhuri bermula sebagai penyanyi empat tahun lalu sebelum mencuba nasib menyertai pertandingan program realiti Lagu Cinta Kita musim ketiga (LCK3) pada 2021.

Biarpun nasib tidak menyebelahi, Farra yang hanya bertahan sehingga minggu kedua, tetap beroleh peluang apabila dilamar syarikat rakaman Nova Music sebagai artis rakaman.

Dari situlah bermula ‘hidup’ baharu Farra sebagai penyanyi.

Sebagai pengenalan bersama Nova Music, wanita asal Ipoh, Perak itu diberi peluang merakamkan single Manja pada 2021.

Terbaharu, Farra sekali lagi diberi kepercayaan merakamkan single berjudul Jauh Darimu yang turut menjadi lagu tema drama Risik Pada Hati yang kini bersiaran dalam slot Akasia, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam setiap Isnin hingga Jumaat di TV3.

Menariknya, lagu ciptaan bersama oleh Rudy Nastia dan Hafiz Karim tersebut secara kebetulan ada kena mengena dengan kehidupan dilalui Farra. Ketika proses rakaman,

Farra sebenarnya berada dalam fasa ‘koyak’ selepas putus cinta dengan kekasih.

“Sebenarnya lirik lagu ini sangat dekat dengan apa saya lalui ketika itu kerana sendiri berada dalam situasi putus cinta. Semasa rakaman dalam studio saya banyak berhenti rehat sebab nangis.

“Tajuk lagu pula Jauh Darimu, memang sangat kena dan membolehkan saya menghayati sepenuhnya lagu ini.

“Saya boleh ‘feel’ lagu ini. Ketika menyanyikan bahagian korus, saya menangis. Malah, setiap kali dengar lagu ini selepas siap dirakam saya rasa sebak.

“Sejujurnya, tak menyangka lagu ini boleh ada kaitan dengan situasi saya sekarang.

“Pada awalnya, komposer pun tak bercerita tentang lirik lagu ini dan saya pun tak pernah cakap apa yang saya lalui. Jadi, apabila kali pertama membaca lirik lagu yang diberikan, saya terkejut,” katanya.

FARRA AHMAD menyifatkan pemilihan single Jauh Darimu sebagai lagu tema drama bersiri Risik Pada Hati mampu memberi impak positif terhadap lagu berkenaan dan namanya untuk lebih dikenali khalayak.

Kekasih ingin kembali

Menurut Farra, lagu tersebut mengingatkan kembali perjalanan kisah cinta dengan bekas kekasih. Lebih menyakitkan, pernah merancang untuk bertunang tahun ini.

“Pendek kata, ketika proses rakaman dibuat hati tengah ‘koyak’. Lirik lagu ini menceritakan bagaimana si kekasih tidak menghargai pasangan yang sudah memberikan sepenuh komitmen dalam perhubungan. Jadi selepas tidak dihargai, dia cuba dan rela melepaskan,” katanya.

Dua tahun cinta yang tersulam putus di tengah jalan, Farra mengakui, bekas kekasih kini cuba memujuk dirinya untuk kembali bersama.

“Saya fikir tidak perlulah lagi. Sebaiknya, biarlah kami menjalani kehidupan masing-masing. Itulah yang sebaiknya,” katanya.

Ketika proses rakaman lagu Jauh Denganmu, Farra sebenarnya berada dalam fasa ‘koyak’ selepas putus cinta dengan kekasih.

Lagu tema Risik Pada Hati

Berkongsi lanjut mengenai lagu Jauh Darimu, Farra meluahkan rasa syukur apabila lagu itu dipilih menjadi OST drama Risik Pada Hati yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Alif Satar, Ummi Nazeera dan Zara Zya.

“Ini kali pertama lagu saya menjadi OST drama. Sangat gembira, berbesar hati dan bersyukur. Ini juga peluang saya untuk besarkan bakat dan kerjaya nyanyian.

“Saya yakin tayangan drama itu akan dapat melonjakkan lagi populariti lagu dan nama saya sebagai penyanyi. Insya-Allah.

“Bukan apa, sebelum ini saya terfikir nak masuk pertandingan seperti Big Stage sebab nak tonjolkan bakat, tapi tak berjaya disebabkan jumlah tontonan video muzik saya yang tidak tinggi.

“Jadi, apabila drama, lagu dan video lirik dilancarkan serentak, saya harap jumlah tontonan video lagu terbaharu saya akan bertambah dan saya berpeluang untuk melangkah dan diberikan lebih banyak peluang selepas ini,” katanya.

Dalam masa sama, Farra mengakui Jauh Darimu yang bergenre balada sangat kena dengan jiwanya.

“Sejak dari dahulu lagi sukakan genre balada. Saya lebih senang dengan genre balada.

“Bukan apa, saya sudah memberikan 100 peratus dalam lagu ini. Sebab itu, saya sangat teruja apabila diberikan lagu bergenre sebegini. Sebelum ini, sudah pernah cakap kepada komposer nak lagu balada, tapi belum ada rezeki lagi ketika itu,” katanya.

Pastinya, Farra berharap lagu Jauh Darimu diterima baik peminat dan pencinta muzik tempatan sekali gus membolehkan peminat membuka mata akan bakat dimilikinya.

“Biarpun mula menyanyi sejak empat tahun lalu tapi masih belum dikenali ramai, saya tak putus asa untuk terus mencuba.

“Setiap orang punya rezeki berbeza-beza. Walaupun lagu pertama tak menjadi siulan ramai, ia bukan penamat untuk saya.

“Menerusi lagu kedua ini, saya yakin orang akan lebih mengenali saya dan lagu ini. Harapan saya orang akan buka mata dan nampak saya dalam industri ini.

“Bagi saya, tidak ada istilah putus asa sebab minat menyanyi dah ada dalam diri sejak dari kecil lagi,” katanya.

Lagu Jauh Darimu kini sudah boleh distrim di semua platform muzik digital dan saluran YouTube Nova Music Videos sejak 22 Julai lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI