fbpx

Permohonan gantung bayar RM3.1 juta kes potong zakar ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Kerajaan Malaysia dan empat defendan lain untuk menggantung perintah pembayaran ganti rugi RM3.1 juta kepada seorang pemuda yang terpotong zakarnya ketika bersunat pada 12 tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas mendapati tiada keadaan istimewa atau khas yang membolehkan permohonan tersebut dibenarkan.

“Seseorang individu dalam kes saman tidak boleh dinafikan hasil kemenangan litigasinya melainkan terdapat keadaan istimewa atau khas yang membolehkan penangguhan perlaksanaan penghakiman.

“Alasan merayu ke Mahkamah Rayuan bukanlah satu keadaan khas. Alasan defendan berhubung kesukaran prosedur untuk pengeluaran wang daripada Perbendaharaan juga bukan satu keadaan istimewa. Defendan menyatakan kerisauan bahawa wang (ganti rugi) itu akan sukar diperolehi semula sekiranya Mahkamah membenarkan rayuan mereka.

“Bagaimanapun, peguam defendan sendiri menghujahkan bahawa rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan tidak akan mengambil masa yang lama. Jadi, tidak mungkin wang sebanyak itu boleh dibelanjakan dalam masa yang singkat,”katanya.

Hakim tersebut berkata demikian sewaktu membaca penghakiman ringkasnya pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian di sini hari ini.

Hakim Akhtar kemudian menolak permohonan pihak kerajaan, pegawai perubatan dan pengarah Hospital Kuala Lipis di Pahang serta doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang di Selangor dengan kos RM3,000.

Pada 7 April lalu, hakim sama turut memerintahkan kesemua defendan untuk membayar mangsa RM3.1 juta selepas membenarkan tuntutan samannya selepas memutuskan bahawa defendan-defendan telah melakukan kecuaian.

Jumlah tersebut merangkumi tuntutan ganti rugi khas sebanyak RM108,356, ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk RM500,000, ganti rugi teladan RM500,000 dan kos RM100,000 yang perlu dibayar kepada plaintif oleh kesemua defendan.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan sebelum ini, insiden malang tersebut berlaku di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis ketika lelaki itu berusia 10 tahun yang mana keseluruhan kepala zakar mangsa terpotong dan penyambungan semula tidak dilakukan tanpa mengikut prosedur yang betul.

Plaintif yang merupakan ibu kepada mangsa dan memfailkan saman itu bagi pihak anaknya, memberitahu anak lelakinya itu kemudian dibawa ke Hospital Selayang bagi prosedur pembedahan menyambung semula kepala alat sulit dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar.

Selepas masuk hari ke-35, plaintif berkata, beliau terperanjat selepas mendapati kepala alat sulit anaknya tidak ada lagi pada batang zakarnya.

Menurut penghakiman penuh hakim itu, kelewatan Hospital Kuala Lipis, Hospital Selayang dan beberapa pegawai perubatan termasuk doktor pakar mengambil langkah pantas untuk menyelamatkan kepala zakar pemuda itu, 12 tahun lalu telah menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa.

Ujar Hakim Akhtar lagi, ganti rugi dalam bentuk kewangan tidak mampu menampung `kerugian’ yang dialami mangsa namun mahkamah perlu memberikan ganti rugi yang boleh membantu mengurangkan beban mangsa dan keluarga dalam membantunya mendapatkan semula keyakinan untuk bersosial seperti manusia normal lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI