KUMPULAN BOBOY

Boboy dah dewasa tapi tetap ‘leleh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKAN mudah untuk kembali bersatu sebagai sebuah kumpulan atau band pada saat kehidupan masing-masing sudah melepasi fasa lelaki dewasa.

Ada yang terikat dengan komitmen keluarga, kerjaya dan ada juga yang terpaksa bergerak solo demi memenuhi permintaan peminat.

Buat Boboy, tiada siapa menyangka selepas 21 tahun, rezeki ternyata masih berpihak kepada mereka untuk terus aktif sebagai sebuah kugiran.

Kini dianggotai Naqiu selaku vokalis, Shah (gitaris utama), Didi (bass) dan Dzul (dram), Boboy kembali dengan single terbaharu berjudul Tetap Bersama.

SELAMA 21 tahun menyepi daripada arus perdana dunia muzik tanah air, kumpulan Boboy tidak pernah berpecah apatah lagi bermasam muka sesama sendiri.

Pop ‘leleh’

Naqiu atau nama sebenarnya saat berbicara tentang single baharu tersebut mengatakan, lagu pop ‘leleh’ itu sebagai hadiah bagi mengubati kerinduan dan penantian para peminat selama ini.

“Lagu Tetap Bersama ini diterbitkan dengan mengekalkan elemen atau signatur lagu-lagu lama kami. Secara tak langsung, lagu ini dekat dan relevan dengan peminat.

“Kami tidak mahu identiti dan memori yang melekat tentang jenama dan perjuangan Boboy berubah hanya kerana kami mahu mencuba sesuatu yang baharu untuk projek reunion.

“Kami mahu peminat masih dapat mengaitkan lagu ini dengan lagu-lagu Boboy yang pernah mereka kenal lebih dua dekad lalu. Cuma, susunan dan penerbitannya saja lebih matang dan moden, seiring dengan perubahan masa,” katanya.

Ditanya tentang Muz yang tidak bersama, Naqiu berkata, untuk projek kali ini, rakannya itu tidak turut serta disebabkan kekangan yang tidak dapat dielakkan.

“Muz masih ahli Boboy dan bila-bila masa sahaja dia tetap diterima dalam kumpulan cuma untuk projek ini, dia tidak dapat memberikan komitmen.

“Tiada isu bermasam muka atau sedemikian. Dia tetap memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi.

“Nanti kalau ada kelapangan untuk dia buat persembahan bersama, kami sangat mengalu-alukan,” ujarnya lagi.

TANPA seorang lagi anggota, Muz (tiada dalam gambar), empat anggota asal Boboy (dari kiri), Didi, Dzul, Naqiu dan Shah kembali menyatu dengan sebuah single baharu berjudul Tetap Bersama – FAIZ ALIF AHMAD

Nyanyi lagu orang

Ketika ini, ramai penyanyi cuba menyanyikan semula lagu-lagu lama dengan memberikan nafas baharu terhadap karya orang lain.

Misalnya, baru-baru ini, timbul isu lagu Tiara dendangan asal kumpulan Kris dinyanyikan dan diolah semula oleh penyanyi Indonesia, Raffa Affar yang mendapat reaksi pelbagai daripada khalayak.

Naqiu bagaimanapun tidak melihat perihal tersebut sebagai satu jalan pintas untuk dikerjakan Boboy.

Dia mempunyai pandangan tersendiri berhubung trend memberi nafas baharu atau menyanyikan semula lagu-lagu lama.

Berpegang kata-kata yang pernah diucapkan maestro muzik tanah air, Datuk Ramli MS ketika bertanding dalam program realiti, Gegar Vaganza musim keenam (GV6), penyanyi berusia 36 itu, berkata, tidak salah menyanyikan semula lagu orang tetapi perlu ada rasa hormat terhadap karya asal.

“Saya sangat hormat karya orang. Saya banyak belajar ketika GV6 iaitu daripada Datuk Ramli MS. Beliau cakap, nak nyanyi lagu orang boleh waima nak mencantikkan sekali pun, tiada masalah.

“Tapi, jangan melebih-lebih. Sebab apa, cuba bayangkan lagu kita orang buat sesuka hati mereka. Sebab itulah, kami (Boboy) buat keputusan, kalau nak ‘cover’ (nyanyi semula) orang, pertama sekali, kita hormat karya asal.

“Kalau dah dapat keizinan betul-betul, barulah kami akan buat (rakam semula lagu orang). Kalau dah dapat izin, memang kami akan buat sehabis baik. Bukan setakat nyanyi dan muat naik dalam YouTube,” katanya kepada HibGlam.

NAQIU memilih untuk merakamkan lagu baharu sebagai simbolik setiakawan Boboy.

Selesa nyanyi lagu sendiri

Ujar Naqiu lagi, dia lebih selesa menyanyikan lagu baharu untuk peminat mereka.

Katanya, walaupun Boboy ada beberapa lagu popular sejak kemunculan sekitar 2000 lalu, itu kisah lama yang sudah menjadi lipatan sejarah buat band.

“Sekarang, saya bersama Boboy pada 2022 dan tampil menyanyikan lagu baharu kami. Untuk lagu lama pula, cukuplah diperdengarkan kepada peminat dalam dalam acara persembahan tertentu saja.

“Kini, saya bersama abang-abang Boboy tampil semula untuk meneruskan kembali perjuangan muzik kami yang berhenti seketika sekitar 21 tahun lalu.

“Semoga single baharu Boboy, Tetap Bersama akan diterima baik,” katanya.

Single tersebut juga secara tidak langsung menunjukkan Boboy tidak pernah berpecah, cuma masing-masing terikat dengan kerjaya, termasuk keluarga.

“Selama Boboy menyepi, kami berlima baik-baik saja dan masih berkawan rapat. Kami selalu bertanya khabar dan terus menyokong di antara satu sama lain. Kami tidak pernah bergaduh pun, apa lagi berpecah,” katanya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN