NUHA BAHRIN

Nuha Bahrin tak mati dikeji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NUHA BAHRIN, sepotong nama yang suatu ketika dahulu pernah mencetuskan huru-hara dalam media sosial apabila mengimprovisasi lagu Kekasih Awal dan Akhir nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah dalam program Vokal Mania sekitar tahun 2020.

Di situlah titik permulaan perjalanan karier Nuha sebagai seorang anak seni.

Introduksinya mungkin tidak seindah yang diharapkan, namun benarlah kata orang, pelangi akan muncul selepas hujan.

Kini, pemilik nama penuh Nuha Sakina Saiful Bahrin meledak dalam sekelip mata menerusi single duet baharunya bersama Naufal Azrin berjudul Casablanca.

Paling tidak disangka, lagu tersebut menjadi kegilaan ramai sehingga menjadi siulan bukan sahaja di tanah kelahiran sendiri tetapi berjaya menakluk jiwa peminat dari Indonesia dan Brunei.

KETIKA lagu Casablanca meledak dan meletakkan satu tanda aras yang tinggi, Nuha mengakui tidak dapat lari daripada rasa tertekan untuk mengeluarkan lagu lain selepas ini.

Bangkit

Biarpun boleh dikatakan berada di puncak dalam sekelip mata, namun empunya badan enggan sesekali mendabik dada apatah lagi bermegah dengan ledakan lagu ciptaan Daqmie dan Abdul Karim Al Ali tersebut.

Pucuk muda yang mesra dengan panggilan Nuha itu mengakui, tidak pernah menyangka lagu tersebut berjaya menyita perhatian ramai, apatah lagi memikirkan dirinya pernah dihentam teruk suatu ketika dahulu.

“Ketika tahu lagu saya tular dalam media sosial, rasa seperti tidak percaya.

“Perasaan bercampur-baur, gementar, takut tetapi pastinya gembira.

“Syukur lagu ini diterima baik dan jutaan komen positif diberikan kepada saya serta Naufal.

“Alhamdulillah dapat merasa rezeki sebesar ini, ibarat durian runtuh!” katanya kepada Pose dalam nada teruja.

Tidak pernah walau sekali menyalahkan takdir mahupun orang ramai, dia percaya segala kecaman yang dilempar kepadanya merupakan antara asbab masih berada dalam industri seni.

“Ya, pernah dikecam, namun semua itu yang buat saya masih berdiri teguh di sini sekarang.

“Saya sangat faham mengapa ramai marah dan kecewa sebelum ini. Semua itu satu pengajaran dan gembira kerana buat saya sedar kesilapan diri,” ujarnya.
Bersyukur Casablanca diterima baik di Indonesia, lebih bermakna kata Nuha, lagu tersebut juga dinyanyikan semula oleh penyanyi popular, Nissa Sabyan.

“Memang tak sangka lagu ini boleh berada di tahap yang boleh dibanggakan.

“Satu penghargaan juga buat saya dan Naufal apabila lagu ini dinyanyikan semula oleh penyanyi lain. Memang terharu, sekali gus membuktikan karya ini disambut baik,” jelasnya.

Ibarat kelahiran semula, namun sebenarnya bukan mudah untuk Nuha mengutip semula semangat untuk bangkit daripada memori hitam yang pernah singgah dalam kamus hidupnya.

“Saya bangkit daripada kesilapan dan perlahan-lahan perbaiki kelemahan diri,

“Memang susah nak bangkit semula, lama juga saya nak cari semangat itu semula.

“Selepas ada beberapa lagu saduran bahasa Arab tular sekitar tahun lalu, saya mula sedar bahawa peluang itu masih ada dan capai semula semangat tersebut,” kongsinya penuh bersemangat.

DIPUJI sesuai menyanyikan irama padang pasir, Nuha bagaimanapun mengakui dia sebenarnya sangat meminati genre R&B.

Kualiti vokal

Seperkara lagi tentang Nuha, saat lagunya tular, namun kualiti vokalnya tetap dipertikai. Nasibnya saling tidak tumpah seperti yang pernah dilalui Nabila Razali dalam insiden terkucil dan seterusnya menjadi kecaman netizen.

Nuha turut melalui hal sama apabila nyanyiannya dalam beberapa program hiburan dipertikai ramai sehingga ada yang mendesaknya berhenti sajalah daripada menjadi penyanyi.

Kedengaran kejam, namun penyanyi kecil molek berusia 21 tahun itu enggan sekali lagi semangatnya karam dihentam kritikan.

“Saya sedar dengan semua kecaman yang dilempar orang ramai, ada yang pertikai mutu vokal ketika menyanyi dalam program siaran langsung.

“Sejujurnya saya masih belajar untuk mengawal perasaan gementar ketika menyanyi depan khalayak umum. Tidak mudah tetapi saya cari ilmu untuk atasi rasa gugup tersebut.

“Saya juga faham, setuju dan terima semua komen negatif dengan hati terbuka. Masih banyak benda yang perlu ditambah baik dalam nyanyian saya,” katanya lagi.

LAGU Casablanca nyanyian Nuha dan Naufal kini tular sehingga ke Indonesia dan Brunei.

Ditanya sama ada semua kritikan tersebut pernah menimbulkan perasaan ingin menjauh daripada bidang nyanyian, Nuha memberitahu, perkara tersebut tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

“Saya tak pernah pun rasa nak berhenti menyanyi disebabkan kecaman netizen.

“Tiada lain yang saya doa selalu iaitu berharap nyanyian sendiri bertambah lebih baik dari hari ke hari,” tutur pelantun lagu X Sempurna itu.

Anak kelahiran Selangor itu sempat berkongsi, turut memasang impian untuk berkolaborasi dengan penyanyi kegemarannya, Yuna.

“Saya memang peminat tegar Yuna sejak dahulu lagi. Sangat suka dengan cara pembawaan diri dan muzik yang dihasilkannya.

“Kalau boleh saya nak berkolaborasi dengannya. Tidak salahkan bermimpi, kadang-kadang boleh jadi kenyataan,” ujarnya lagi.

SELAIN aktif menyanyi, Nuha kini sibuk dengan latihan amali sebelum menamatkan pengajiannya dalam bidang pemasaran.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN