FARAH sugul mengenangkan dirinya yang dilayan seperti orang gaji di rumah mentua. – GAMBAR HIASAN

Isteri makan hati dilayan macam orang gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAMAI orang berkata, rumah tangga pasangan suami isteri pilihan keluarga dapat bertahan dan kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

Sebaliknya berlaku kepada Farah (bukan nama sebenar) apabila dia terpaksa melalui episod duka dalam hidup selepas mendirikan rumah tangga dengan suaminya yang dikenali sebagai Khairul.

Ibu bapa Farah mula mencarikan calon suami buatnya selepas dia tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dia memperoleh keputusan kurang memuaskan dalam SPM, sekali gus menyukarkannya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Sebagai seorang gadis solehah, Farah yang ketika itu berusia 18 tahun menurut sahaja kehendak kedua-dua ibu bapanya.

Pada suatu hari, rumahnya didatangi oleh beberapa tetamu yang datang dengan kereta mewah bertujuan untuk merisiknya.

Farah memaklumkan, rombongan tersebut bertujuan menyatukan dirinya dengan Khairul yang juga merupakan anak tunggal kepada kenalan rapat kedua-dua ibu bapanya.

Untuk makluman, Khairul yang ketika itu berusia 26 tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Bagaimanapun, dia menikmati hidup selesa kerana segalanya ditanggung oleh kedua-dua ibu bapanya.

“Pada mulanya, saya memang tidak setuju untuk dijodohkan dengan Khairul. Dia bukan saja tiada kerja tetap, rupa dan sikapnya pun saya tidak tahu. Macam mana ingin hidup bersama sepanjang hayat.

“Hati saya mula terbuka menerima Khairul selepas termakan pujukan ibu. Ibu memaklumkan, bakal suami saya anak orang senang. Jadi, masa depan saya pasti terjamin,” ujarnya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Selepas mendirikan rumah tangga, Farah dibawa tinggal bersama Khairul sekeluarga di Pulau Pinang. Justeru, dia terpaksa tinggal berjauhan dengan keluarganya di Kedah.

Menurutnya, selepas berkahwin, dia banyak menghabiskan masa seorang diri di rumah memandangkan kedua-dua ibu bapa mentuanya bekerja dan Khairul sering keluar melepak bersama rakan-rakan.

“Tugas saya di rumah mertua adalah memasak, membasuh serta memastikan kediaman berada dalam keadaan bersih. Saya tiada masalah untuk melakukannya kerana telah dilatih oleh ibu sejak kecil.

“Kalau kerja semua sudah habis, saya menonton televisyen atau tidur. Kehidupan saya pada lima bulan pertama perkahwinan cukup indah dan lancar,” terangnya lagi.


DISEBABKAN baju kurung yang digosok rosak, Farah dimarahi dan dipukul ibu mentuanya. – GAMBAR HIASAN

Selepas setahun mendirikan rumah tangga, Farah mula merasai tekanan apabila ibu mentuanya mula meninggikan suara serta menengkingnya setiap kali melakukan kesalahan.

Ujarnya, ada ketika hidangan dimasaknya terlebih masin sehingga mengundang kemarahan ibu mertuanya yang terkenal dengan suara yang agak lantang.

“Setiap kali dimarahi ibu mentua, saya pasti menangis dan mula mengenang nasib diri.

“Saya selalu tertanya-tanya sama ada saya ini seorang menantu atau orang gaji di rumah itu.

“Saya mengaku ada ketikanya hidangan yang dimasak itu tidak seperti diharapkan. Tetapi, saya tidak sepatutnya dimarahi seperti seorang tidak bermaruah,” ceritanya.

Kesengsaraan yang dialami Farah dipendam agak lama daripada pengetahuan keluarganya.

Sehinggalah pada satu hari, dia nekad untuk lari dari rumah mentuanya kerana selain dimarahi, ibu mentuanya bertindak memukulnya.

Menurut Farah, ibu mentuanya naik angin selepas dia secara tidak sengaja merosakkan sepasang baju kurung yang digosoknya.

Katanya, ibu mentua memintanya menggosok pakaian tersebut untuk ke majlis kenduri, sebelum dia melakukan sedikit kesalahan sehingga menyebabkan kainnya terbakar.

Ujarnya lagi, dia jarang menggosok kain satin seperti itu dan tidak tahu ia tidak perlu menggunakan suhu terlalu panas.

“Apabila kainnya terbakar, ibu mentua naik angin dan mula memukul termasuk penampar muka saya.

“Disebabkan itu, saya terus kemas barang dan membawa diri pulang ke kampung di Kedah dengan menaiki bas.

“Saya menceritakan segala yang berlaku kepada keluarga sepanjang tinggal bersama mentua. Mujurlah, keluarga memahami dan mahu saya segera berpisah dengan Khairul,” katanya.

Jelas Farah bapanya kemudian menghubungi Khairul supaya melepaskannya secara baik. Ia dipersetujui oleh Khairul sebelum melafazkan cerai di mahkamah syariah.

Fara berasa sangat bersyukur dapat berpisah dengan Khairul dan tidak perlu tinggal bersama mentua yang melayaninya seperti orang gaji.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN