fbpx

Bekas tempat peliharaan haiwan dijadikan stor haram diesel bersubsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan menyerbu sebuah bekas tempat peliharaan haiwan yang dijadikan sebuah stor haram minyak diesel bersubsidi di Persiaran Mutiara Galla di sini hari ini.

SEREMBAN – Sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi kini semakin licik dengan menjadikan sebuah bekas tempat peliharaan haiwan di Persiaran Mutiara Galla, di sini sebagai stor haram barang kawalan tersebut.

Ketua Pegawai Penguat kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Abd Muis Samsudin berkata, kegiatan tersebut terbongkar hasil serbuan yang dijalankan oleh pasukan penguat kuasa KPDNHEP pada pukul 1 petang tadi.

Abd Muis berkata, empat orang lelaki berusia 25 hingga 44 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak disesel bersubsidi itu berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.

“Ketika serbuan dijalankan, terdapat empat orang suspek dalam keadaan mencurigakan sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan minyak diesel daripada sebuah lori satu tan yang dipercayai telah diubahsuai ke dalam square tank (tangki petak) di stor berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 13 unit tangki petak yang berisi dengan minyak diesel dan 18 unit tangki petak yang kosong,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Abd Muis, hasil siasatan awal mendapati premis dan suspek yang ditemui di lokasi kejadian tidak mempunyai sebarang lesen, permit khas atau surat kebenaran dari Pengawal Bekalan bagi berurusan dengan barangan kawalan berjadual.

“Hasil serbuan ini, dianggarkan sebanyak 14,000 liter minyak diesel telah disita untuk tujuan siasatan dengan nilai rampasan sebanyak RM30,100.

“Turut disita sebuah lori satu tan yang diubah suai, tangki petak serta peralatan-peralatan yang digunakan di tempat serbuan seperti pam penyedut bahan api dengan anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kes ini adalah RM55,300,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket tersebut adalah menggunakan lori yang telah diubahsuai dengan tangki tambahan untuk membuat pembelian diesel daripada stesen minyak di sekitar Seremban sebelum dihantar untuk penyimpanan di lokasi serbuan.

“Sindiket ini disyaki menjadikan kawasan itu sebagai tempat penyelewengan minyak diesel bersubsidi sejak dua bulan lalu.

“Stor ini dipercayai disewa daripada individu lain di mana sebelumnya ia merupakan tempat penternakan haiwan,” katanya.

Tambah beliau, kes akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 20 (1) akta yang sama kerana menyimpan apa-apa barang kawalan di mana-mana premis selain dari premis yang dilesenkan atau premis yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan,” katanya.

Katanya, pihak KPDNHEP Negeri Sembilan akan terus megambil tindakan terhadap sindiket penyelewengan minyak diesel di negeri ini.

“KPDNHEP Negeri Sembilan ingin menegaskan dan menasihatkan para peniaga supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan di dalam jalan perniagaan dan perdagangan masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI