fbpx

RM393 bilion perkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (kiri) bersama Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika hadir di Mesyuarat Keempat Majlis Air Negara (MAN) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto IHSAN PMO

PUTRAJAYA – Sebanyak RM393 bilion telah diperuntukan oleh kerajaan untuk memperkasakan tadbir urus adaptasi perubahan iklim dengan tempoh pelaksanaan secara berfasa selama 50 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM15 bilion pula telah diperuntukan untuk pelaksanaan projek tebatan banjir mulai tahun 2023 hingga 2030.

“Saya juga telah mengarahkan kementerian dan agensi terbabit meningkatkan penggunaan sumber air bawah tanah dan air hujan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat termasuk bagi kegunaan di kawasan pedalaman, pengairan tanaman serta sistem kumbahan.

“Penggunaan sumber air alternatif yang murah dan mudah didapati ini perlu diambil kira dalam pembangunan infrastruktur serta bangunan baru sepertimana yang telah dilaksanakan di kebanyakan negara bagi menjimatkan kos penggunaan air terawat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri telah mempengerusikan Mesyuarat Keempat Majlis Air Negara (MAN) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Persekutuan, Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri dan Ketua Setiausaha Negara.

Menurut Ismail Sabri, penggunaan air bawah tanah di Malaysia ketika ini dilaporkan kurang
daripada tiga peratus berbanding dengan negara lain, walaupun negara mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu.

“Kerajaan juga bercadang untuk membina lebih banyak ‘struktur sabo’ di seluruh negara dalam usaha untuk mengurangkan risiko banjir puing seperti mana yang berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini.

“Setakat ini struktur sabo sedang dibina di Yan, Kedah dan bakal dibina di Baling serta Janda Baik, Pahang dalam tempoh terdekat bagi menahan puing termasuk bongkah batuan, lumpur dan kayu-kayan sekaligus memperlahankan aliran air serta mengurangkan impak yang dibawa arus deras terutamanya selepas hujan lebat,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat tersebut juga telah mempertimbang dan bersetuju dengan tiga kertas pertimbangan seperti Transformasi Sektor Air 2040 bagi menjamin sekuriti dan kelestarian air selain menjadikan sektor air sebagai pemangkin ekonomi negara.

Tambah beliau, selaras dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia Lestari’, Kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri dan pihak-pihak berkepentingan lain akan terus bekerjasama memastikan keupayaan negara dalam menangani isu pengurusan air negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI