fbpx

Mentera puaka Incantation, wajib tonton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAGAI amaran awal, filem Incantation mampu menjadi mimpi ngeri buat penonton yang tidak kuat semangat.

TIDAK tahu di mana dan bagaimana mahu memulakan ulasan filem seram Taiwan paling popular ketika ini berjudul Incantation, sebuah naskhah yang menjadi perbualan ramai peminat genre karya berkenaan.

Sedang ditayangkan menerusi Netflix, satu pesanan buat golongan yang mudah ‘terbawa-bawa’ atau lemah semangat, fikir dua tiga kali sebelum membuat keputusan menonton filem berkenaan.

Secara ringkasnya, filem arahan sutradara bernama Kevin Ko tersebut mengisahkan seorang wanita bernama Ronan yang melanggar pantang larang di sebuah tempat pemujaan.

Natijahnya, dia terkena sumpahan sehingga mengheret nyawa orang tersayang termasuk anak sendiri, Dodo dalam bahaya.

Secara peribadi, filem berkenaan sangat ‘menyesakkan’ jiwa, namun unik apabila berjaya mengajak penonton terikut-ikut gaya tangan pemujaan atau mantera sumpah seranah berbunyi ‘hou ho xiu yi, si sei wu ma’. Tolong jangan baca mantera tersebut, jika enggan terjebak.

DISEBABKAN melanggar pantang larang dan kepercayaan lama, seorang wanita bernama Ronan terpaksa berdepan akibatnya sehingga mengancam nyawa anak sendiri.

‘Tersampuk’ mantera

Disebabkan itu, seperti apa yang diberi peringatan pada perenggan terdahulu, buat mereka yang senang terbawa-bawa fiksyen filem dalam kehidupan sebenar atau mudah terpengaruh dengan benda-benda ghaib, jauhi hasrat untuk mengamati karya berkenaan.

Alasannya mudah, jika tidak kuat semangat, penonton mungkin boleh terhipnosis atau tersampuk dan terbawa-bawa dalam kehidupan sebenar. Incantation sememangnya ada kuasa ‘psiko’ terhadap audiens untuk ikut sekali masuk menjiwai ‘penderitaan’ setiap karakter.

Dari segi naratif, Incantation sebenarnya sedikit kucar-kacir dek banyak penggunaan ‘footage’ atau rakaman video. Sungguhpun begitu, buat mereka yang sudah terbiasa dengan gaya teknikal atau pengarahan sedemikian, perihal tersebut barangkali tidak menjadi satu gangguan.

Sebenarnya lebih ‘real’, namun semua itu tergantung selera atau cita rasa penonton. Buat penulis secara peribadi, itu tidak menjadi satu masalah besar.

Dari sudut ‘jumpscare’ ataupun lonjakan rasa takut, Incantation sememangnya wajar diberikan markah cemerlang.

Ada banyak babak yang membuatkan deras adrenalin melonjak-lonjak ketakutan.

Ada juga boleh terbawa-bawa ke dalam mimpi termasuk penulis sendiri.

Watak Ronan dijayakan dengan cemerlang oleh pelakon bernama Tsai Hsuan-yen.

Trypophobia, lakonan berkesan

Paling menakutkan adalah waktu ‘hantu nenek’ di pertengahan filem dan bukan sahaja itu, buat mereka yang mempunyai masalah trypophobia (ketakutan lubang kecil), disarankan agar berhati-hati ketika menonton.

Mungkin agak keterlaluan tetapi fobia kalian berisiko semakin memburuk selepas menonton Incantation. Ada babak yang melibatkan perihal tersebut sangat mengganggu minda.

Dari segi permainan karakter, syabas terutama buat dua karakter utama iaitu Tsai Hsuan-yen sebagai Li Ronan dan pelakon cilik, Huang Sin-ting (Dodo). Watak Ronan sangat berbekas dan meracau dalam ingatan termasuklah peranan watak Dodo iaitu anak kepada wanita itu.

Sedikit saranan juga buat ibu bapa, filem ini barangkali tidak sesuai ditonton anak-anak.

Semua itu bukan disebabkan adegan seks tetapi kebanyakan memang kalau tidak diawasi, akan mengganggu ketenangan mereka yang belum menginjak status dewasa.

Secara keseluruhan, Incantation merupakan antara filem paling seram yang tersedia dalam Netflix untuk tahun 2022. Barangkali ada yang membantah pernyataan tersebut, namun seperti lazim, terpulang kepada selera ‘horror’ masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI