Aminullah menunjukkan alligator gar yang termakan umpannya di Sungai Pahang baru-baru ini.

Nelayan Sungai Pahang terkejut dapat alligator gar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEKAN – Selepas baung merah yang merupakan ikan pemangsa luar mula mendominasi Sungai Pahang, kini alligator gar yang mempunyai mulut seakan buaya mula bertapak menguasai sungai terpanjang di Semenanjung itu.

Kedua-dua ikan pemangsa luar negara ini menjadi ancaman kepada ikan-ikan liar sungai Pahang yang diancam kepupusan.

Jika ikan baung merah sehingga berat lebih 50 kilogram berjaya ditangkap di sepanjang sungai Pahang hampir setiap hari. Terbaharu alligator gar dengan gigi yang tajam sudah berjaya dikesan apabila ditangkap di Sungai Pahang dekat Kampung Salong di sini.

Seorang nelayan sungai, Aminullah Salleh, 44, berkata, dia yang telah lebih 20 tahun menjadi nelayan sungai amat terkejut apabila buat pertama kali mendapat ikan alligator gar.

“Ketika pergi melihat taut yang dipasang umpan ikan saya terkejut melihat taut disentap dan mulanya saya ingatkan buaya tetapi selepas ia mengelupur dan nampak ekor barulah tahu itu adalah sejenis ikan.

“Nasib baik ikan ini tidak menelan umpan dan kail tersangkut di mulut menyebabkan ia tidak terlepas, inilah kali pertama saya dan penduduk di sini dapat ikan ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Salong di sini semalam.

Sungai Pahang kaya dengan ikan-ikan liar bermutu dan bernilai tinggi seperti patin dan kelah.

Menurutnya ikan dengan berat kira-kira empat kilogram dan panjang kira-kira satu meter itu juga begitu lasak apabila masih hidup meski pun hanya diletakkan di dalam bot gentian kaca tanpa air sebelum dibawa balik pada sebelah tengah hari.

Katanya, ikan berkenaan yang disimpan di dalam kolah batu di kedai makan miliknya masih hidup dan memakan ikan yang dilepaskan di kolah berkenaan.

“Pada masa ini ramai penduduk kampung dan orang luar yang datang melihat ikan ini yang kali pertama ditangkap dari Su­ngai Pahang. Jika ada yang ingin beli dengan harga yang berpatutan saya mungkin bersedia menjualnya,” katanya.

Dalam pada itu, Aminullah yang bergantung kepada ikan sungai sebagai sumber pendapatan berkata, dia dan nelayan su­ngai lain berasa bimbang kewujudan ikan pemangsa itu.

Jelasnya, perkara itu kerana ikan itu akan menyebabkan po­pulasi ikan sungai lain seperti patin dan kelah akan terjejas.

Katanya, dengan ciri-ciri alligator gar ia dilihat sudah tentu boleh memberikan kesan kepada spesies ikan berharga di sungai Pahang yang semakin berkurangan.

“Saya rasa mungkin ada orang yang bela ikan ini melepaskannya ke sungai, saya risau ia akan menyebabkan banyak ikan su­ngai berharga lain akan pupus sepertimana ikan patin muncung.

“Pada masa ini hanya ikan patin buah sahaja yang berjaya ditangkap nelayan dan kali terakhir saya dapat patin muncung ialah pada 2005, sekarang sudah tiada lagi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN