PETALING JAYA – Keinginan merasai kesan khayal ganja asli tanpa rasa takut dan bebas menjadi sebab utama ramai orang sanggup berhabis sehingga antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi mengikuti konvoi bermotosikal ke Thailand untuk bersuka ria.
Menurut mereka, ganja asli dipetik daripada pokok mempunyai rasa khayal lebih baik berbeza dengan kanabis mampat yang sering diseludup ke negara ini untuk dinikmati oleh penagih tempatan.
Seorang pelajar kolej yang mahu dikenali sebagai Hairul, 25, berkata, dia bersama empat rakannya tidak sabar untuk melancong ke Thailand bagi menghisap ganja asli selepas perancangan ke Amsterdam dan Kanada terbantut akibat Covid-19.
Katanya, ibarat orang mengantuk disorong bantal, keputusan Thailand mengeluarkan ganja daripada senarai dadah menjadi berita gembira buat peminat tegar ganja sepertinya.
“Kami bercadang untuk melancong ke Thailand selama seminggu dengan menunggang motosikal secara konvoi pada bulan depan bagi merealisasikan hasrat menghisap ganja asli.
“Sudah lama kami merancang ke sana sejak Thailand mengeluarkan ganja daripada senarai dadahnya. Ramai kawan yang sudah pergi ke Amsterdam atau Kanada memberitahu menghisap ganja asli lebih seronok berbanding yang mampat dan perlu dicuba,” katanya.

Menurut Hairul, melancong ke Thailand lebih dekat dan murah berbanding ke Amsterdam dan Kanada serta menjadi salah satu tarikan untuk mereka berlima ke negara Gajah Putih tersebut bukan sahaja untuk mencuci mata, malah menghisap ganja tanpa rasa takut.
Tambahnya, meskipun harga ganja asli di sana lebih mahal berbanding di Malaysia, namun ia merupakan pengalaman sekali seumur hidup.
“Kami semua sudah letakkan bajet RM1,000 hingga RM2,000 hanya untuk menghadiri beberapa festival muzik di sana termasuk membeli ganja,” katanya.
Berita berkaitan: Syurga ganja di Thailand
Bagi seorang pekerja swasta, Fazril, 32, yang merupakan peminat ‘konvoi’ turut menyimpan hasrat untuk ke Thailand bagi mencuba ganja asli.
“Saya dan beberapa rakan juga sudah membuat perancangan untuk melakukan konvoi dari Semenanjung ke Hatyai. Kami semua bukanlah kaki ganja, namun hanya ingin mencuba.
“Sebab di Malaysia, agak mustahil untuk rasa keunikan ganja asli. Jadi inilah peluang untuk menikmati ganja tanpa perlu risau ditangkap atau sebagainya,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Hafriz, 30, berkata, dia dan isteri tidak sabar untuk mengunjungi negara Thailand susulan ekspo ganja yang bakal diadakan pada bulan November nanti.
“Saya dan isteri memang peminat ganja dan sebenarnya ingin mencuba kepelbagaian yang ada. Jika di negara luar, variasi ganja adalah banyak dan boleh diambil dari pelbagai bentuk.
Bukan sahaja hisap, ada yang telah diubah menjadi makanan dan juga lain-lain,” katanya.
Tambahnya, dia dan isteri akan berkunjung ke negara itu selama sebulan untuk menjelajah daripada selatan Thailand hingga ke sebelah utara termasuk Bangkok dan Chiang Mai.














