fbpx
Gambar hiasan.

Lebih 40,000 hektar tanaman padi musnah akibat banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Sebanyak 40,828 hektar tanaman padi musnah akibat banjir di Semenanjung Malaysia, manakala 9,336 hektar mengalami kerosakan akibat kemarau sepanjang lima tahun lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, permasalahan disebabkan oleh perubahan iklim global itu antara cabaran dihadapi sektor agromakanan.

“Perubahan iklim global meningkatkan risiko bencana alam, banjir dan kemarau berpanjangan selain peningkatan suhu, pola hujan yang berubah serta kenaikan aras air laut.

“Pada masa sama pertambahan populasi, produktiviti dan inovasi pertanian yang masih rendah, amalan pertanian tidak mampan, manipulasi orang tengah dalam rantaian pemasaran, kekurangan pelaburan swasta, serangan penyakit dan perosak.

“Tahap penggunaan teknologi dan pertanian pintar yang rendah, kebergantungan kepada pekerja asing dan kekurangan penglibatan golongan muda turut menjadi cabaran dalam sektor ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut-BN) tentang cabaran dihadapi oleh sektor agromakanan untuk memastikan rantaian bekalan makanan negara kekal stabil dan lancar.

Terdahulu, Ronald berkata, Malaysia tidak terkecuali menerima tempias daripada penularan Covid-19, dasar perlindungan diamalkan beberapa buah negara serta konflik Rusia-Ukraine yang memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan dunia.

Menurutnya, peningkatan inflasi turut memberi kesan terhadap kitaran pengeluaran bahan makanan disebabkan oleh kenaikan harga makanan termasuk input pertanian seperti baja dan racun selain kenaikan kos logistik.

“Isu kekurangan sumber asli seperti kawasan tanah yang terhad dan semakin berkurangan juga antara cabaran dihadapi dalam sektor agromakanan,” ujarnya.

Tambahnya, MAFI akan meneruskan strategi dibawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2031 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 bagi mendepani cabaran sekuriti makanan. – KOSMO! ONLINE

POPULAR