fbpx

Bot bawa rombongan pengantin karam, 20 mayat ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis dan penduduk kampung bersiap sedia untuk mencari mangsa bot rombongan perkahwinan yang terbalik di sebatang sungai pinggir bandar Sadiqabad, semalam. - AFP

ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya 20 individu lemas dan 30 lagi hilang selepas sebuah bot karam di sebatang sungai di tengah Pakistan, lapor portal berita MailOnline, semalam.

Majoriti mangsa yang maut dan hilang adalah wanita dan kanak-kanak, demikian menurut laporan tempatan. Semasa kejadian, bot tersebut membawa lebih 100 penumpang.

Bot yang terlebih muatan itu dilaporkan sedang menyeberangi sungai Indus untuk ke sebuah majlis perkahwinan di daerah Sadiqabad. Hampir 90 mangsa berjaya diselamatkan oleh penyelam polis.

Kesemua mangsa di atas bot berasal daripada sebuah keluarga yang sama dan sedang dalam perjalanan untuk menyertai perarakan perkahwinan dari kampung Machka dan Kharor.

“Pihak berkuasa telah menemui 20 mayat setakat ini dan kebanyakan mereka adalah wanita.

“Kami tidak pasti berapa ramai penumpang yang berada di dalam bot itu. Kami mendapat anggaran hanya berdasarkan kenyataan ahli keluarga terselamat,” kata pegawai kerajaan tempatan, Aslam Tasleem.

Hampir 35 penyelam dari perkhidmatan menyelamat yang dikendalikan kerajaan mengambil bahagian dalam operasi mencari dan menyelamat.

Pengantin lelaki ialah antara penumpang yang berjaya diselamatkan, namun tidak jelas sama ada pengantin perempuan turut terselamat.

Dalam satu kenyataan berasingan, Perdana Menteri Shahbaz Sharif menzahirkan rasa dukacita atas insiden itu dan meminta pihak berkuasa melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan penumpang yang masih hilang. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI