fbpx
PAKAIAN dengan padanan aksesori sesuai dapat mengubah penampilan seseorang.

Berani berubah penampilan lebih menarik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh FAIZAL HAMID

Gaya merupakan pilihan peribadi serta luahan si pemakai fesyen.

Sememangnya tiada siapa yang sepatutnya menentukan anda bagaimana untuk berpakaian.

Apa yang penting adalah intuisi diri. Jika anda cukup yakin untuk menggayakan sesuatu rekaan atau padanan, teruskan niat bereksperimentasi dengan fesyen tersebut.

Untuk mendapatkan gaya yang segar dan menarik, kadangkala kita perlu berani serta bijak menyuntik sedikit perubahan pada penampilan.

Bagi mereka yang mahu menambah ceria dalam penampilan, saya titipkan aliran trend terkini untuk sepanjang hari.

1. Warna putih ringkas, segar

Putih cukup moden, ringkas, segar dan anggun.

Rekaan pakaian dalam rona putih, perlu mengikut bentuk badan dan mungkin barang kemas pula perlu punyai bentuk tersendiri tetapi tidak berkilat (sparkle-free).

Sama ada gaun bersulam, sut atau kemeja, pilihan adalah tidak terbatas. Aksesori pula semestinya ringkas tanpa terlalu banyak perincian.

Dapatkan padanan kasut dalam warna neutral dan beg rona putih sebagai pelengkap gaya. Jika memilih skirt mini, kaki anda lebih menarik jika dibiarkan tanpa memakai stocking.

2. Rona kehijauan

Antara warna yang popular di pentas peragaan antarabangsa adalah rona kehijauan. Anda perlu berani mencuba sebelum membuat keputusan untuk menggayakannya.

Ia sesuai untuk pelbagai warna kulit, cukup segar dan selalunya menambahkan seri si pemakainya.

Reka corak polka dot sering mendapat tempat dalam koleksi pereka antarabangsa musim ke musim.

Rekaan diperagakan dalam corak ini agak kontemporari, ceria dan feminin. Antara rekaan menarik adalah gaun polka dot yang cukup menambat hati sesiapa yang melihat.

WARNA putih menyerlahkan gaya moden dan anggun pada si pemakai.

3. Beg praktikal bergaya

Untuk musim ini, dapatkan beg yang praktikal dan penuh gaya untuk anda yang gemar membawa pelbagai keperluan peribadi ke pejabat.

Sememangnya, lebih besar sesebuah beg, ia lebih baik untuk anda.

Barangan seperti payung, kasut, majalah dan sebagainya, kini anda boleh bawa kesemuanya dalam beg besar.

Rekaan beg bersaiz besar didatangkan dalam pelbagai rekaan yang cukup stylish dan memikat.

4. Padanan aksesori

Jika anda tidak mampu untuk bermewah-mewah dalam berpakaian, perlu beri perhatian kepada pemilihan aksesori.

Perlu diingat, pakaian yang sama tetapi dengan padanan aksesori yang pelbagai dan berlainan, dapat mengubah penampilan pada setiap masa.

Namun begitu, jika anda peruntukan untuk membeli setiap set lengkap aksesori dalam pelbagai warna, dinasihatkan hanya memilih satu warna yang boleh dipadankan dengan pakaian dalam almari.

Jika perlu jimatkan kos, pilihlah warna-warna versatil seperti hitam, biru kelasi dan coklat. Keutamaan dalam membuat pilihan aksesori adalah cita rasa yang hebat dan kualiti bagus.

5. Impak kaca mata hitam

Kaca mata hitam adalah alternatif kepada mereka yang mahukan barangan seperti beg tangan dan pakaian dalam jenama yang mewah, tetapi tidak mampu untuk memilikinya kerana harga yang melampau tinggi.

Kaca mata hitam jenama antarabangsa dapat memberi impak segera walaupun dari jarak jauh apabila anda menggayakannya.

Ia bukan hanya member nafas baharu kepada penampilan, malahan juga satu cara paling ekonomi, mudah dan praktilkal untuk kita mengikut peredaran gaya atau trend terkini.

Bagi mereka yang mahu menggayakan pakaian beropol (ruffles), pilihan yang bijak adalah mengehadkan penggunaan ropol di bahagian tebuk leher atau hujung kain.

Penggunaan aksesori tambahan tidak digalakkan. Jika mahu juga, pilihlah aksesori yang tidak terlalu menonjol, ringkas dan bersaiz kecil.

———————————————————————————————————————————————-
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN