fbpx

RUUSA Perak 2022: Perlu untuk urus sumber air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani ketika menyampaikan ucapan pembentangan kali kedua RUUSA Perak 2022 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - FOTO: MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Rang Undang-Undang Enakmen Sumber Air (RUUSA) Perak 2022 digubal bertujuan untuk mengadakan peruntukan mengenai pengurusan bersepadu bagi penggunaan, pembangunan dan perlindungan sumber air di Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain tujuan tersebut, penggubalan RUUSA juga bermatlamat untuk menubuhkan Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Beliau menjelaskan, sehingga kini, pengurusan sumber air di Perak masih dikawal selia berdasarkan kepada peruntukan Akta Air 1920 (Akta 418) yang dilaksanakan oleh Pegawai-Pegawai Daerah, bahkan tiada badan khusus yang boleh menjadi rujukan utama untuk kawal selia sumber air tersebut.

“Selain peruntukan Akta 418, terdapat dua kaedah yang telah dibuat dibawahnya iaitu Kaedah-kaedah Caj Air (Perak) 2010 dan Kaedah-kaedah Abstraksi Air Tanah (Perak) 2011.

“Ketiadaan badan khusus ini menyebabkan kawal selia ke atas penggunaan sumber air negeri tidak dapat dioptimumkan khususnya dari aspek pelesenan dan penguatkuasaan yang melibatkan sumber air,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembentangan kali kedua RUUSA Perak 2022 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saarani berkata, antara negeri yang telah meluluskan enakmen berkaitan pengurusan sumber air ialah Selangor pada 1999; Kedah (2008) dan Terengganu (2020).

Katanya, ketiga-tiga negeri itu telah menubuhkan badan pengurusan sumber air negeri masing-masing iaitu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Lembaga Sumber Air Terengganu.

Justeru itu, Saarani berkata, timbul keperluan dasar untuk menggubal satu undang-undang negeri baru yang teratur dan menyeluruh bagi menggantikan Akta 418 serta undang-undang yang berhubung dengannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI