fbpx
Setiap hari, usahawan hijau akan mengutip minyak masak terpakai daripada pelanggan di sekitar Subang Jaya.

Profesion ‘hijau’ usahawan minyak masak terpakai janji gaji lumayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP hari, lori kargo satu tan berwarna hijau yang dipandu Safwan Shahrom, 34, dilihat memasuki kawasan kejiranan sekitar Subang Jaya, Selangor.

Usai kenderaan diberhentikan di hadapan rumah, seorang wanita bersama beberapa tong berisi minyak masak terpakai sudah sedia menanti di hadapan pagar kediamannya.

Sebaik minyak bertukar tangan dan kandungan isi padu cecair di dalam botol itu ditimbang, Safwan menghulurkan wang sebagai ‘pembayaran’ pembelian minyak masak terpakai kepada pelanggannya dan beredar ke kediaman lain.

Sejak tahun lalu, itu merupakan rutin harian yang dilakukan oleh pemuda ini. Dikenali sebagai usahawan hijau yang bertanggungjawab menguruskan sisa minyak masak terpakai secara efisien, Safwan berniaga di bawah Program Usahawan Hijau (PUSH) yang dikendalikan oleh Fathopes Energy (FHE).

Bermula Januari 2020, FHE telah melancarkan PUSH bagi mewujudkan peluang meraih pendapatan yang sama bagi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, latar belakang, kemahiran mahupun kepakaran dalam membentuk ekonomi hijau.

Menerusi program tersebut, individu diberi peluang untuk menjadi usahawan hijau dengan mengumpul dan menjual minyak masak terpakai kepada FHE, yang mana mereka merupakan pembekal bahan suapan pelbagai biofuel kepada syarikat minyak dan gas di seluruh dunia.

SAFWAN (tengah) bersama usahawan-usahawan hijau lain yang bertanggungjawab menguruskan minyak masak terpakai secara efisien demi kelestarian alam sekitar.

Merupakan profesion baharu, namun tatkala usahawan hijau yang bertanggungawab ‘mengutip’ minyak masak terpakai dilabel sebagai satu kerjaya, ramai yang tidak percaya adanya pekerjaan seperti itu.

Tambahan pula profesion klise seperti guru, doktor, akauntan dan lain-lain seringkali mendominasi ruang fikiran individu. Jarang sekali pekerjaan seperti menjadi pengutip minyak terpakai diketengahkan sebagai satu kerjaya.

Ironinya, pekerjaan tersebut juga penting terutamanya untuk kelestarian alam sekitar, selain turut menjanjikan pendapatan lumayan sama seperti pekerjaan kolar putih dan biru yang lain. Bezanya, pekerjaan ini mampu diterokai oleh individu yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi.

Tidak tertumpu kepada minyak masak terpakai semata-mata, pemuda ini turut mengumpul efluen kilang kelapa sawit, minyak ikan, gris perang, lemak haiwan, minyak kisar kopi dan lain-lain.

“Saya lihat minyak tidak akan pernah putus memandangkan ia digunakan oleh semua isi rumah dan restoran-restoran setiap hari. Ternyata, pekerjaan ini boleh dijadikan sebagai kerjaya.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai pemandu ambulans dan tidak pernah tahu mengenai pekerjaan pengutip minyak terpakai. Di awal penglibatan di dalam ‘dunia’ ini, saya hampir berputus asa kerana kesukaran untuk mendapatkan minyak masak terpakai daripada orang awam.

“Tetapi sebaik menceburinya sendiri, saya mula berasa seronok. Lebih-lebih lagi apabila pekerjaan ini menjanjikan bayaran yang agak lumayan,” katanya yang memperoleh puluhan ribu ringgit sebulan.

Minyak masak terpakai yang dibeli daripada pelanggan akan dibayar mengikut harga pasaran.

Akui Safwan, sejak dahulu lagi masyarakat di negara ini kurang diberi pendedahan untuk mengitar semula minyak masak yang telah digunakan. Kebiasaannya, minyak masak yang telah digunakan berakhir di longkang mahupun sinki.

Tanpa mereka sedari, membuang minyak masak terpakai ke dalam longkang boleh mengakibatkan isu alam sekitar yang serius memandangkan ia boleh menyebabkan pembentukan minyak masak beku (fatberg). Bahkan, situasi tersebut juga mengakibatkan pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi untuk mengeluarkannya dari longkang.

Pada tahun 2016, Majlis Perbandaran Klang membelanjakan lebih kurang RM6 juta bagi mengalihkan sisa minyak yang telah mengeras dan mengakibatkan longkang tersumbat.

Pun begitu sejak 2020, FHE berjaya mengumpulkan sebanyak 16.8 juta tan minyak masak terpakai dan menghasilkan 15.12 juta liter biofuel.

Jumlah tersebut bersamaan dengan penanaman pokok albizza lebbek sebanyak 95,500 batang.

Melihatkan situasi itulah, Safwan terpanggil untuk meneroka kerjaya tersebut dan menjadikan aktiviti mengumpulkan minyak masak terpakai sebagai profesion. Secara tidak langsung, dia dapat memupuk kesedaran tentang kepentingan mengitar semula minyak masak terpakai dalam kalangan komuniti setempat.

“Pelbagai reaksi diterima ketika pertama kali saya mewujudkan kesedaran mengitar semula minyak masak terpakai. Pada waktu itu, saya baru berjinak-jinak untuk mengutip minyak masak terpakai di kawasan kejiranan.

“Ramai yang bertanya untuk apa minyak masak ini dikutip. Sebaik diterangkan, barulah mereka faham dan mula mengumpul minyak masak terpakai untuk dijual kepada saya,” kongsinya kepada K2!

Berkongsi lanjut mengenai pekerjaan yang dijalankan, menurut Safwan, dia yang bertanggungjawab mengutip minyak terpakai di sekitar Subang Jaya, Selangor ini memulakan kerja seawal pukul 9 pagi hingga 11 malam setiap hari.

Minyak masak itu kemudian dihantar ke FHE dan Safwan dibayar mengikut harga pasaran minyak semasa.

Setiap hari, Safwan mampu mengutip lebih satu tan minyak masak daripada 20 hingga 30 pelanggan.

Dalam tempoh sebulan, pemuda ini mampu mengutip sehingga 25,000 tan minyak masak terpakai.

BERMULA sebagai kelindan lori, Nor Fazilah kini mampu berniaga dan memandu sendiri lori mengutip minyak masak terpakai.

Sama seperti Safwan, Nor Fazilah Sharom, 36, juga salah seorang usahawan hijau yang bekerja sebagai pengutip minyak masak terpakai.

Bermula sebagai kelindan membantu adiknya yang memandu lori mengutip minyak masak terpakai, ibu kepada seorang cahaya mata ini mula tertarik untuk meneroka cabang kerjaya itu.

“Pada awalnya, saya sendiri tidak tahu apakah yang dimaksudkan usahawan hijau, tetapi apabila melihat pekerjaan ini mampu mendatangkan pendapatan lumayan, saya mengambil keputusan untuk turut terlibat.

“Tidak dinafikan dari segi pekerjaan, tugas ini agak mencabar dan tidak semua orang boleh bekerja dalam keadaan berminyak, mengangkat benda berat dan kotor. Pendek kata, tidak ramai yang sanggup melakukannya lebih-lebih lagi wanita,” katanya.

Menurut Fazilah, pada awalnya, suaminya sendiri tidak bersetuju apabila dia menyuarakan hasrat untuk bekerja sebagai pengutip minyak masak terpakai kerana ia agak berisiko.

Bagaimanapun, melihatkan kesungguhannya, Fazilah akhirnya berjaya mendapat restu daripada suaminya. Bahkan, lelaki itu jugalah kini membantunya mencari dan mengumpul minyak masak terpakai.

“Pekerjaan ini memang sukar kerana isi padu minyak yang berat. Paling sukar apabila mahu mengutip minyak pada waktu hujan dan malam, selain kutipan di dalam pusat beli-belah kerana bimbang ia akan tertumpah.

“Bagaimanapun, saya boleh lakukan kerja seperti ini sehingga ke hari ini biarpun pada awalnya agak sukar,” katanya.

Mempunyai lesen GDL dan memandu sendiri lori seberat satu tan, Fazilah memandu sehingga ke Negeri Sembilan untuk membantu pelanggannya menguruskan minyak masak terpakai.

Lebih menarik wanita ini pernah mendapat kutipan sebanyak 2 tan dalam tempoh sehari sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN