fbpx

KB Sentral dijangka siap hujung 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Terminal Bas Kota Bharu di Lembah Sireh sudah digunakan sejak lebih 10 tahun lalu bakal dipindahkan ke KB Sentral yang dijangka siap pada 2025.

KOTA BHARU – Pembinaan Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) yang bakal memberi keselesaan kepada pengguna pengangkutan awam terutamanya bas ekspres di Kelantan dijangka siap menjelang penghujung tahun 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd. Nor berkata, projek terbabit dijalankan bagi menggantikan Terminal Bas Kota Bharu, Lembah Sireh di sini yang pada asalnya merupakan stesen bas sementara.

Menurutnya, sebelum ini, kerajaan negeri telah mengeluarkan dokumen permintaan cadangan atau Request For Proposal (RFP) bagi projek pembangunan KB Sentral pada hujung tahun 2020.

“Proses RFP itu tergendala ekoran negara dilanda pandemik Covid-19 dalam tempoh dua tahun. Sehubungan itu, kerajaan negeri telah memilih satu pembangunan KB Sentral di atas tanah seluas 0.4 hektar yang merangkumi terminal bas, bangunan komersial dan pangsapuri pada 1 Jun lalu.

“Terminal bas yang baharu dijangka siap pada hujung 2025 manakala keseluruhan pembangunan lain di kawasan itu akan siap secara berperingkat dalam tempoh sembilan tahun,” katanya ditemui pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Azami ketika diminta untuk mengulas mengenai masalah air Kelantan berkata, kerajaan negeri sedang meneliti perancangan kaedah Takungan Air Pinggiran Air Sungai (TAPS) dan Takungan Empangan bagi menangani masalah itu.

Menurutnya, cadangan pembinaan TAPS dengan kapasiti 500 juta liter sehari telah dirancang di Labok, Machang dan ia telah dibawa kepada kerajaan persekutuan untuk kelulusan pelaksanaan menerusi Rancangan Boleh Pinda 3 dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Ketika ini, sumber air mentah untuk perkhidmatan bekalan air awam di Kelantan adalah melalui pengekstrakan air sungai dianggarkan sebanyak 47 peratus, tapisan air sungai (29 peratus) dan air tanah (24 peratus).

“Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. juga merancang menaik taraf dan membina Loji Rawatan Air baharu selain melaksanakan program penukaran paip uzur untuk mengurangkan kadar air tidak terhasil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI