fbpx

‘Road to’ RM100 juta, Mat Kilau dah cecah RM80 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAMSUL Yusof berharap kejayaan Mat Kilau membuka lebih banyak peluang untuk industri perfileman tempatan bangkit membaiki kelemahan.

PETALING JAYA – Filem epik Melayu, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terus mencatat kejayaan luar biasa apabila kini sudah mengutip jumlah kutipan panggung RM80 juta selepas 25 hari tayangan.

Pengarah filem tersebut, Syamsul Yusof berkongsi rasa syukurnya apabila naskhah garapannya itu terus mendapat tempat di hati para penonton.

“Allah yang telah gerakkan hati kalian untuk membeli tiket dan tonton filem ini. Sujud syukur,” coret Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd. Syamsul Mohd. Yusof menerusi satu entri terbaharu dalam Instagram.

Syamsul, 38, juga memaklumkan, sudah tiba waktunya karya-karya tempatan bangkit sekali gus terus memajukan industri perfileman tanah air.

“Masanya telah tiba, industri filem Malaysia perlu bangkit. Pada yang memberi komen positif untuk filem saya, syukur dan terima kasih. Saya amat terharu serta hargai sokongan kalian.

“Buat mereka yang katakan filem saya kali ini sampah atau lemah, juga saya terima dengan berlapang dada, kerana there’s no such thing as perfect film (tiada istilah filem yang sempurna),” katanya.

Menurut Pengarah Asia Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-57 itu, dia akan tetap memberikan yang terbaik demi kemajuan industri kreatif tempatan dan mengharapkan energi sama daripada pihak berkaitan.

“Insya-Allah. Saya akan terus fokus dan sedaya upaya bawa industri filem Malaysia ke satu peringkat yang lebih baik walau terlalu banyak kelemahan dalam industri kita.

“Kelemahan inilah yang telah membunuh industri dan pengkarya filem! Finas, orang filem & kerajaan ayuhlah bangkit baiki kelemahan industri filem. Ayuh ikhlas dalam perjuangan ini,” ungkapnya.

Filem Mat Kilau yang diterbitkan Studio Kembara Sdn. Bhd dibintangi Datuk Adi Putra dan pelakon hebat lain termasuk Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As’ari (Yassin).

Tidak ketinggalan Datuk Rahim Razali, Namron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI