fbpx
ISTERI Hakim dan skandalnya terkejut apabila tiba-tiba Hakim menahan kereta dinaiki mereka berdua sekali gus isterinya mengakui kecurangannya. – GAMBAR HIASAN

Isteri simpan pucuk muda dicerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH rumah tangga sememangnya banyak memberikan keinsafan kepada mereka yang mengikuti perkembangannya untuk dijadikan pedoman untuk mengharungi kehidupan seharian yang semakin mencabar.

Kisah rumah tangga dalam Dari Mahkamah Syariah minggu ini memaparkan seorang isteri yang curang dengan suami dengan menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki yang jauh lebih muda daripadanya.

Sebelum itu, suaminya banyak mendapat maklumat tentang kecurangan isterinya daripada rakan-rakan yang seringkali terserempak dengan mereka keluar bersama, namun dia sukar untuk mempercayainya.

Selepas suaminya mendapat tahu perkara itu di depan matanya sendiri, wanita tersebut diceraikan.

——————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————

SETELAH hampir lapan tahun mendirikan rumah tangga bersama isteri tercinta, Hakim (bukan nama sebenar) akhirnya dikurniakan seorang cahaya mata.

“Saya adalah insan yang paling gembira kerana akhirnya menjadi seorang ayah.

“Saya percaya dengan hadirnya cahaya mata ini, ia akan menguatkan lagi hubungan saya dan isteri,” katanya yang berusia 40-an kepada K2.

Namun, Hakim mendapati isterinya itu banyak berubah setelah melahirkan anak.

Malah, mereka berdua amat jarang untuk bersama.

Setiap kali Hakim meminta untuk bersama, pasti akan ada alasan yang diberikan oleh isterinya.

Tidak cukup itu, Hakim juga mendapati isterinya sering menghabiskan masa dengan telefon pintar, manakala Hakim sebaliknya yang lebih banyak menguruskan anak.

Pada masa sama, Hakim menyatakan, rakan sekerjanya ada memaklumkan kepadanya bahawa dia terserempak dengan isterinya bersama lelaki lain di dalam kereta.

Rakannya memaklumkan bahawa lelaki tersebut kelihatan masih muda berumur lingkungan 20-an.
Bagi mendapatkan kepastian serta penjelasan lanjut, Hakim bertanya tentang hal itu kepada isterinya.

“Isteri saya memaklumkan bahawa lelaki tersebut adalah rakan sekerjanya dan mereka hanya keluar makan bersama.

“Saya cuba untuk mempercayai kata-kata isteri saya itu. Namun, di hati masih terdetik rasa curiga,” tuturnya.

Sementara itu, apa yang membuatkan Hakim semakin sangsi dengan isterinya apabila dia mendapati ada perubahan di katil mereka seperti ada orang lain yang menggunakannya terlebih dahulu.

“Isteri saya akan keluar untuk ke tempat kerja dengan lebih awal. Selalunya saya yang akan mengemas semula katil setiap pagi.

“Namun, pada suatu hari saya pulang awal dari tempat kerja dan mendapati tandas rumah saya basah seperti baru lepas digunakan. Selain itu, saya mendapati susun atur bantal di katil kami juga berlainan,” jelasnya.

HAKIM akhirnya menceraikan isterinya kerana tidak mahu digelar dayus selepas mengetahui wanita itu ada skandal di belakangnya.

Hakim bagaimanapun tidak mahu bertanyakan akan hal itu kepada isterinya kerana ia pasti akan membuatkan mereka bergaduh.

Tidak mampu memendamnya bersendirian, Hakim kemudian meluahkan kecurigaannya itu kepada rakannya yang sebelum ini pernah ternampak isterinya bersama lelaki lain.

“Rakan saya itu menceritakan bahawa dia sebenarnya pernah mengekori isteri saya dalam diam tetapi tidak mahu menceritakan hal itu kepada saya kerana takut saya tidak mempercayainya.

“Dia ada menjelaskan bahawa dia ternampak lelaki muda itu datang menaiki motosikal dan bertemu dengan isteri saya di suatu tempat sebelum mereka bergerak dengan kereta menuju ke sebuah hotel,” jelasnya.

Saya hanya boleh menangis di hadapan rakan saya pada waktu itu apabila dia menceritakan hal tersebut.

Rakannya itu kemudian meminta agar Hakim mengekori isterinya dalam diam dan melihat perilaku mereka.

Hakim kemudian melakukan apa yang dicadangkan oleh rakannya itu.

Hasil bantuan daripada rakannya, akhirnya dia dapat melihat kecurangan isterinya itu.

“Saya terus menahan kereta dinaiki mereka dan isteri saya pada ketika itu amat terkejut. Berlaku pertengkaran antara kami dan setelah dipaksa akhirnya isteri saya dan lelaki muda itu mengakui bahawa sememangnya mereka ada menjalinkan hubungan,” jelasnya.

Ketika pertengkaran tersebut jugalah isterinya memaklumkan bahawa anak yang dikandung dan dilahirkannya adalah anak lelaki tersebut kerana mereka sudah terlanjur.

Hakim ternyata terkejut dengan pengakuan tersebut dan dia seakan tidak boleh menerima kenyataan itu.
Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk melepaskan isterinya itu kerana tidak boleh menerima kenyataan tersebut.

“Bagi saya, semuanya sudah berlaku. Apa yang saya boleh lakukan adalah menceraikannya dan biarkan mereka hidup bersama untuk membesarkan anak itu,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN