fbpx

Energi tak terjangka, Zul Ariffin gementar lakon watak komedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Don Dukun merupakan naskhah layar lebar komedi kedua yang dijayakan Zul selepas Hantu Kak Limah.

KOTA BHARU – Lari daripada kebiasaan, pelakon terkenal Zul Ariffin mengakui diselubung rasa gementar buat pertama kali sepanjang kariernya apabila diberi kepercayaan menjayakan watak komedi dalam sebuah filem terbaharu berjudul, Don Dukun.

Menurut Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 35, perasaan gementar tersebut muncul memikirkan komedi bukan ‘forte’ (kecenderungannya) berbanding aksi dan romantis seperti sebelum ini.

“Ini kali pertama saya rasa gementar di set penggambaran kerana filem komedi bukan padang saya seperti pelakon lain iaitu Ropie dan Douglas Lim.

“Saya pun pelik kenapa rasa gementar tersebut hadir ketika duduk seorang diri sebab saya sangat susah untuk rasa benda itu kerana sudah dilatih agar tidak mudah ada perasaan begitu.

“Namun saya syukur semangat satu pasukan bersama mereka sangat bagus, sekali gus membantu mengurangkan rasa gementar tersebut,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.

Zul berkata demikian ketika ditemui di set penggambaran filem Don Dukun arahan Waan Hafiz di Pengkalan Chepa, semalam.

Dalam pada itu, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 menerusi filem Sangkar itu berasakan, energi yang perlu diberikan untuk filem komedi lebih banyak berbanding naskhah lain.

“Momentum tenaga memang kena selari dengan genre filem. Tenaga yang perlu disalurkan untuk filem komedi memang banyak dan saya pun tidak menjangkakannya.

“Ini filem komedi kedua saya selepas Hantu Kak Limah tetapi kali ini cabarannya lain.

“Mungkin juga rasa gementar tersebut muncul kerana jadual kerja yang padat dan semuanya perlu disiapkan mengikut jadual. Babak lakonan saya juga agak mencabar juga kerana ada melibatkan aksi lasak,” jelasnya.

Selain Zul, Ropie dan Douglas, Don Dukun terbitan Infinitus Film yang kini menjalani penggambaran di Kelantan turut membariskan Marsha Milan, Sharifah Aryana, Serra Kamal dan Sangeeta Krishnasamy. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI