fbpx
PARK EUN-JIN

Jiwa autistik si jelitawan Park Eun-bin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ANTARA lambakan drama Korea Selatan atau K-drama sedang ditayangkan menerusi pelbagai platform ketika ini, terdapat sebuah naskhah menjadi tumpuan dan menarik perhatian penontom berjudul Extraordinary Attorney Woo.

Naskhah berkenaan berkisar kehidupan seorang wanita autististik genius yang memiliki tahap ukuran kepintaran 164, daya ketahanan memori yang dahsyat, kreatif dan bekerja sebagai peguam.

Ironi, Korea Selatan bukanlah negara yang handal menangani isu kesihatan mental. Buktinya, sehingga kini masih ramai rakyat negara kimchi itu membunuh diri akibat pelbagai faktor, terutamanya tekanan hidup.

Bagaimanapun, industri hiburan negara tersebut seolah-olah memikul peranan dengan cemerlang kerana kerap memaparkan naskhah berkaitan kesihatan mental, selain menonjolkan watak istimewa dalam skrin.

Extraordinary Attorney Woo misalnya menjadi drama yang menerima respons positif penonton kerana mengangkat watak seorang pesakit autisme yang mempunyai kerjaya hebat sebagai bintang utama.

Tukang lakon watak autistik tersebut dipikul aktres serba boleh, Park Eun-bin, satu nama yang tidak asing dalam dunia K-drama tetapi mungkin masih belum cukup sinonim dengan peminat antarabangsa.

Menariknya, kemunculannya Eun-bin menangkap perhatian luar biasa atas kredibiliti lakonan menghuraikan watak golongan insan istimewa ditambah dengan imej comel berambut pendek yang digayakannya.

BERJAYA mendeskripsi watak Woo Young-woo dengan cemerlang, lakonan Park Eun-bin turut menuai pujian daripada pesakit autisme yang disifatkan mereka sebagai satu penghayatan magis.

Ketakutan

Baru beberapa episod ditayangkan, tetapi drama Extraordinary Attorney Woo sedang memuncak dengan pujian penonton sehingga memasuki senarai naskhah paling tinggi ditonton dalam carta Good Data Corporation setiap minggu.

Menyelami jiwa seorang austistik bukan satu kerja mudah. Hal tersebut dialami Eun-bin sehingga menimbulkan keresahan saat awal diberikan tawaran.

Perasaan tersebut memuncak sehinggakan beberapa kali menolak tawaran berkenaan, tetapi termakan pujukan pengarah dan penulis yang meletakkan kepercayaan penuh untuknya menjayakan watak Woo Young-woo.

“Saya sangat berhati-hati dan takut jika wujudnya prejudis. Saya kerap tertanya-tanya, bolehkah jika saya berlakon begini atau begitu?

SEPANJANG menjayakan watak Woo Young-woo, Park Eun-bin perlu menghafal skrip yang panjang demi menjadikan watak autistik yang terkenal dengan personaliti mudah menghadam sesuatu fakta menjadi realisitik.

“Kemudian saya temui jawapan. Berbanding berfikir tentang lakonan, saya perlu fahami apa yang saya harus rasakan. Jadi saya letakkan rasa ikhlas Eun-bin dalam keikhlasan Young-woo,” ulasnya.

Apa yang dipotretkan Eun-bin dalam Extraordinary Attorney Woo dicantumkan dengan pelbagai kajian sendiri, termasuklah mendapatkan rujukan daripada seorang profesor.

“Saya bertemu seorang profesor untuk minta nasihat dan belajar tentang karakter am seorang autistik. Saya tak mahu meniru watak itu menerusi media.

“Khususnya, terdapat empat kriteria diagnostik untuk orang yang mengalami gangguan spektrum autisme dan saya belajar kesemuanya,” tuturnya yang juga pernah belajar bermain violin demi tuntutan watak dalam drama Do You Like Brahms? (2020).

SELEPAS dinobat sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi The King’s Affection, peminat melihat Park Eun-bin akan mengulang kejayaan sama hasil lakonan berkualitinya dalam Extraordinary Attorney Woo.

Psikologi

‘Brain with beauty’. Itu perkataan yang sesuai menggambarkan keperibadian Eun-bin.

Di sebalik bakat lakonan hebat yang tumbuh segar dalam dirinya, dia mempunyai ilmu dalam bidang psikologi.

Merupakan lepasan graduan dari Universiti Sogang (2011), pelakon itu mengambil jurusan psikologi dan komunikasi media iaitu khususnya bidang kewartawanan.

Justeru, tidak hairanlah andai Eun-bin didefinisikan sebagai seorang yang baik, cantik dan bijak dalam pelajaran oleh seorang rakan sekolahnya. Berusia 29 tahun, karier Eun-bin sebenarnya sudah bertapak sejak dua dekad lamanya.

Dia juga pernah muncul sebagai model dalam video muzik lagu Taeyeon dan Taeyang.

Peranannya selaku puteri yang menyamar sebagai putera raja dalam drama The King’s Affection tahun lalu mencipta hit global sekali gus melariskan dirinya disambar menjalin kerjasama dengan banyak jenama besar.

Dengan pengalaman dimilikinya, Eun-bin mempunyai perspektif yang unik dalam aspek lakonan dengan menganggap dunia tersebut sebagai satu proses ‘pemejalwapan’.

MENDASARI jiwa dan kehidupan seorang autistik dengan cemerlang dalam Extraordinary Attorney Woo melambung populariti dan kredibiliti lakonan Park Eun-bin.

“Laluannya adalah lakonan. Menerusi lakonan, saya alami perkara yang saya tak dapat lakukan sebagai seorang Park Eun-bin.

“Sebab itu saya sangat seronok dan rasa bebas ketika berlakon. Lakonan menjadi cara untuk saya berkomunikasi.

“Memang tak dinafikan lakonan buatkan saya hilang kekuatan (penat) tetapi menerusinya saya mengulangi proses mengecas dan melepaskan tenaga,” jawabnya.

Eun-bin mula berlakon sejak kecil bermula 1996 menerusi banyak naskhah yang menggunakan pesona ciliknya seperti Empress Myeongseong (2001) dan The Great Queen Seondeok (2009).

Ketika itu, dia masih bersekolah tetapi harus menyeimbangkan antara dua dunia dek minat yang mendalam terhadap lakonan.

“Saya perlu pergi ke sekolah dan bekerja pada masa yang sama, jadi saya tiada masa untuk berehat.

“Tetapi saya tidak pernah keluar atau melanggar peraturan untuk berseronok. Sebenarnya momen itu agak sukar untuk saya.

“Cuma keinginan tersebut didorong oleh diri sendiri, bukannya ibu bapa yang menyuruh. Sebab itu saya selalu tanamkan dalam diri yang saya perlu lakukan apa sahaja untuk berjaya,” katanya.

Sebelum menempa hit glolbal menerusi The King’s Affection dan terkini Extraordinary Attorney Woo, Eun-bin juga pernah membintangi deretan naskhah lain seperti Age of Youth, Hot Stove League, The Ghost Detective, Judge vs. Judge dan Hello, My Twenties! 2.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN