fbpx

[VIDEO] Siti Nuramira mengaku tidak bersalah hina Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Nuramira (kiri) diiringi anggota polis tiba untuk didakwa atas kes menghina agama Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismai di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Wanita yang tular membuka tudung dan menanggalkan baju kurung, dalam satu persembahan di sebuah kelab, Siti Nuramira Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dikalangan sesama Islam.

Siti Nuramira, 26, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali 

Mengikut pertuduhan, Siti Nuramira didakwa telah mengaku bahawa dia adalah seorang muslim dan telah menghafal 15 Juzuk al-Quran dan kemudiannya bertindak membuka tudung serta menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Ia yang mana perbuatan itu boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan-alasan agama di antara orang-orang yang menganut agama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Crack House Comedy Club, Tingkat 1, 24 Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di sini pukul 6 petang pada 4 Jun lalu (2022).

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298A (1)(a)  Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman denda minimum dua tahun dan tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin. 

“Namun, sekiranya mahkamah ingin menawarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan RM50,000 berserta syarat tambahan seperti melapor diri di balai polis berdekatan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang memuat naik sebarang kenyataan di media sosial sepanjang perjalanan kes ini, “kata Najihah.

Bagaimanapun peguam R.Sivaraj dan Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Siti Nuramira memohon mahkamah memberikan ikat jamin rendah kerana tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan.

“Mohon satu ikat jamin yang rendah sekitar RM4,000 hingga RM5,000 selain mahkamah boleh mengenakan syarat-syarat tambahan terhadap tertuduh,” kata kedua- dua peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, hakim Siti Aminah membenarkan Siti Nuramira diikat jamin RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang memuat naik di media sosial berhubung prosiding kes ini.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI