fbpx

Mana kunci rumah kami, bulanan sudah bayar – Pembeli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasnah Hussin berdiri dihadapan pintu pagar yang ditutup di pangsapuri yang terbengkalai dan masih belum diduduki sejak 13 tahun lalu di Taman Molek Perdana, Plentong, Johor Bahru hari ini. - FOTO: RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Pembeli kediaman Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana, Plentong di sini berharap keluhan mereka mendapat perhatian bukan sahaja pihak berwajib, tetapi juga Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hal itu kerana, seramai 972 pembeli kediaman berkenaan tidak lagi dapat menahan sabar selepas terpaksa menunggu selama 13 tahun namun rumah yang dibeli masih belum dapat diduduki.

Lebih memeritkan adalah pembayaran ansuran bulanan bagi kediaman berkenaan sebanyak RM270 telah mula dibayar penduduk sejak tahun 2014 lagi.

Salah seorang pembeli, Hasnah Hussin, 53, memberitahu, sepanjang menanti untuk menduduki rumah berkenaan, dia terpaksa menyewa sebuah pangsapuri dengan harga RM1,200 sebulan.

“Bayangkan sepanjang 9 tahun ini saya terpaksa membayar sewa bulanan, sedangkan saya sudah membayar ansuran rumah sendiri sejak 2014.

“Jika kediaman saya ini sudah boleh diduduki, saya boleh berjimat dengan wang berkenaan dan menggunakannya untuk tujuan lain, sehinggakan anak saya sendiri tidak dapat menyambung pengajian kerana kekangan kewangan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan ‘perhimpunan’ secara solo bagi menuntut hak sebagai seorang pembeli.

Sehubungan itu, ibu kepada empat orang anak itu berharap keluhannya akan mendapat perhatian daripada kerajaan negeri, pusat dan juga Istana Johor.

“Saya mewakili pembeli kediaman ini sudah penat dan tidak tahu hendak mengadukan masalah ini dengan siapa lagi, pihak kerajaan negeri sudah, kerajaan pusat sudah, wakil rakyat pun sudah.

“Harapan yang saya miliki ketika ini hanyalah berharap permasalahannya ini akan mendapat perhatian Sultan Johor dan juga Tunku Mahkota Johor (Pemangku Raja Johor), semoga ada jalan penyelesaian dan penduduk dapat kunci dengan segera,” jelasnya.

Sementara itu, wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Idaham Jalani, 45, memberitahu, dia hadir bagi memberi sokongan kepada pembeli kediaman berkenaan yang turut terdiri daripada kakitangan kerajaan.

“Difahamkan perumahan ini hanya tinggal kurang daripada 20 peratus untuk disiapkan, namun sehingga kini penduduk masih menunggu untuk mendapatkan kunci kediaman mereka.

“Pembeli tidak dimaklumkan apakah masalah yang dihadapi pemaju utama iaitu Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), tetapi mereka minta tarikh sebenar bila penantian mereka untuk mendapatkan kunci akan berakhir,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor memberitahu, SPNB memaklumkan fasa dua projek melibatkan Blok A, B dan C pangsapuri itu sepatutnya diserahkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 31 Disember tahun lepas namun mengalami kelewatan serahan kunci akibat urusan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Walaubagaimanapun, seramai 432 pembeli dijangka menerima kunci mereka pada bulan depan, manakala bagi fasa tiga iaitu Blok D dan E, seramai 215 pembeli dijangka menerima kunci kediaman masing-masing pada Disember tahun ini.

“Fasa pertama projek berkenaan iaitu Blok F sudah memperoleh CCC pada tahun 2020,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI