fbpx

Hampir semua pesakit cacar monyet lelaki – WHO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar menunjukkan pesakit cacar monyet. - iStock/Berkay Ataseven

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan laporan pertama mengenai penularan cacar monyet kelmarin termasuk perincian profil mereka yang terjejas akibat wabak berkenaan, lapor laman berita Wion News.

Dalam laporannya, WHO menyatakan bahawa hampir semua pesakit cacar monyet terdiri da­ripada lelaki, manakala umur median mereka  ialah 37 tahun.

Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tersebut, tiga perlima daripada mereka yang dijangkiti virus cacar monyet dikenal pasti sebagai lelaki yang melakukan hubungan sejenis.

Lonjakan jangkitan cacar monyet di luar negara-negara Afrika Barat dan Afrika Tengah di mana virus itu adalah endemik, dilaporkan sejak awal Mei lalu.

Dari 1 Januari hingga 4 Julai lalu pula, sejumlah 6,027 kes cacar monyet dari 59 negara dan tiga kematian telah dilaporkan kepada WHO.

Sejak 27 Jun lepas, jumlah kes cacar monyet melonjak sebanyak 77 peratus. Sepanjang tempoh tersebut, dua kematian baharu telah direkodkan. Kedua-duanya berlaku di Republik Afrika Tengah.

WHO bagaimanapun berkata, 10 negara tidak melaporkan kes baharu cacar monyet selama ­lebih 21 hari iaitu tempoh inkubasi maksimum bagi ­­penyakit tersebut.

Laporan sama menyebut bahawa kira-kira 82 peratus kes ­cacar monyet direkodkan di Be­nua Eropah, manakala 15 peratus di Benua Amerika. 

Negara yang merekodkan le­bih daripada 1,000 kes disahkan ialah Britain (1,351) diikuti oleh Sepanyol (1,256) dan Jerman (1,242), demikian menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) dan WHO Eropah.

Di luar Eropah pula, laporan WHO menunjukkan terdapat 460 kes cacar monyet yang di­sahkan di Amerika Syarikat (AS) dan 300 lagi di Kanada.

Dalam laporannya, WHO memberitahu, statistik jangkitan cacar monyet berdasarkan jantina yang tersedia adalah melibatkan 4,406 kes di mana 99.5 peratus ialah lelaki. 

Lelaki berumur 18 hingga 44 tahun didapati menyumbang 79 peratus kes cacar monyet.

Terdapat cuma enam kes yang diketahui dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun, manakala 25 kes lagi dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI