fbpx

Pidato pupuk semangat berkoperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOH bergambar bersama para pemenang Pertandingan Pidato Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan di IKMA, semalam.

PETALING JAYA – Koperasi sekolah digesa tidak hanya memberi tumpuan kepada bidang perdagangansemata-mata sebaliknya perlu melibatkan diri dalam bidang pertanian bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani pada masa hadapan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar berkata, bagi merealisasikan tujuan itu, koperasi-koperasi sekolah yang berminat boleh memohon bantuan dalam bentuk geran daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk melibatkan diri dalam aktiviti pertanian.

“Kita akan bantu semampu yang boleh, jadi koperasi sekolah yang berminat boleh membuat permohonan bantuan kepada SKM. Kita akan nilai berapa jumlah bantuan yang boleh diberi sebagai galakan kepada koperasi melibatkan diri dalam sektor pertanian.

“Selain itu, SKM bukan sahaja menyediakan geran bahkan juga dalam bentuk pinjaman mudah.

“Sekarang kita dapat lihat kenaikan harga makanan dan salah satunya punca apabila kita terpaksa mengimport bahan mentah dari luar negara. Kalau kita dapat keluarkan hasil sendiri ia dapat mengurangkan kenaikan harga barang,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Penutupan Pertandingan Pidato Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan di Auditorium Dato’ A Majid, Institut Koperasi Malaysia (IKMA), semalam.

Seramai 30 peserta daripada 30 buah sekolah di seluruh negara terpilih ke pusingan separuh akhir dalam program yang dianjurkan oleh IKMA dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Erika Maisara Roslan dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak dinobatkan sebagai juara sekali gus berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan sijil.

Naib juara dimenangi Izzah Athirah Mhd Idris mewakili Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari, Subang Jaya, Selangor, manakala tempat ketiga dimenangi P. C. Umashanchita dari Sekolah Menengah Kebangsaan Shahbandaraya Klang.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000 dan RM5,000 beserta trofi dan sijil.

Tempat keempat dan kelima dimenangi Putri Nurathirah Hirmizali dari SMK Tansau, Penampang, Sabah dan Muhammad Najdi Hakim Muhamad Nasir dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad, Melaka. Mereka membawa pulang RM1,000, trofi serta sijil.

Pertandingan Pidato Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan ini merupakan salah satu usaha Institut Koperasi Malaysia mempromosikan sambutan 100 tahun Gerakan Koperasi.

Pelaksanaan program ini bertujuan memupuk minat semangat berkoperasi dalam kalangan pelajar sekolah sekali gus mengetengahkan bakat generasi muda sebagai pelapis pembangunan negara melalui pembinaan keyakinan dan ketrampilan diri serta memperluas pengetahuan generasi muda khususnya dalam bidang koperasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI