fbpx

Menu Melayu, Barat bawah satu bumbung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RESTORAN yang menyajikan kepelbagaian juadah di bawah satu bumbung sering kali menjadi pilihan untuk menjamu selera, khususnya dalam kumpulan yang besar.

Hal ini kerana pengunjung boleh memilih menu yang bersesuaian dengan selera mereka selain menjimatkan masa tanpa perlu menuju ke lokasi berbeza untuk mendapatkan juadah tertentu.

Sebuah restoran baharu dikenali sebagai Foodhall Cafe yang terletak di Bandar Sri Permaisuri Cheras, Kuala Lumpur pantas menjadi tumpuan memandangkan ia membawakan konsep kepelbagaian hidangan di bawah satu bumbung untuk kemudahan pelanggan.

Menurut Ketua Pengurus Operasi Kafe Foodhall, Hanis Hazwani Abdul Manaf, 32, kafe yang ditubuhkan pada Disember tahun lalu itu menawarkan pelbagai jenis hidangan di bawah satu bumbung seperti masakan Melayu, Barat, daging barbeku yang dipanggang dan juga pencuci mulut. 

“Konsep hidangan yang ditawarkan di sini adalah kepelbagaian menu oleh vendor-vendor berbeza bagi memberikan banyak pilihan kepada pengunjung.

“Kami menawarkan menu masakan nasi daripada vendor Nasi Aunty Kiah, pencuci mulut dan minuman daripada Foodsbury dan juga menu barbeku panggang daripada Fireplace Korean BBQ,” ujarnya.

Tambah Hanis, dia mendapat inspirasi untuk mewujudkan konsep hidangan di bawah satu bumbung itu dari Eropah memandangkan konsep tersebut cukup popular di situ.

“Konsep food hall sebegini sudah popular di Eropah dan kami bawakannya kepada pengunjung di sekitar Cheras dan ternyata ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

“Ini kerana ia memberikan kelebihan kepada orang ramai untuk memilih hidangan yang dimahukan, sesuai dengan selera masing-masing,” ujarnya.

Daging barbeku dengan ayam bersama perapan istimewa yang merupakan menu signatur di Foodhall Cafe.

Menerusi menu hidangan daging barbeku panggang, pengunjung boleh memilih set ayam dan daging wagyu daripada harga serendah RM48 untuk dua orang yang dihidangkan bersama nasi dan sos pilihan.

Bagi pengunjung yang mahu menikmati menu mengenyangkan seperti nasi untuk makan tengahari, Foodhall Cafe turut menyajikan menu seperti Nasi Lemak Bonda, Nasi Ayam Kicap Sambal dan juga Nasi Ikan Keli Goreng atau Sambal.

Menu masakan Barat yang paling popular pula adalah Hainanese Chicken Chop yang cukup enak dan sesuai dimakan pada bila-bila masa.

Selain chicken chop, menu Chili Butter Clam iaitu kepah yang dimasak bersama kuah mentega bercili yang dihidangkan bersama roti mantao juga merupakan menu yang cukup digemari pelanggan.

Malah, menu tersebut juga merupakan kegemaran Hanis sendiri yang menganggap ia sesuai dimakan dengan mantao dan juga nasi.

“Menu ini dihidangkan bersama roti mantao namun kepekatan dan kelazatan kuahnya itu cukup unik, menjadikan ia juga sesuai dimakan bersama nasi.

“Malah, ia juga sesuai dimakan pada bila-bila masa,” ujarnya.

Bagi hidangan pencuci mulut pula, menu croffin iaitu gabungan antara croissant dan juga muffin menjadi pilihan pengunjung memandangkan rasa dan teksturnya yang unik.

Foodhall Cafe dibuka setiap hari kecuali Isnin pada pukul 12 tengah hari sehingga 10.30 malam.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI