fbpx

Lori rempuh kenderaan: Tindakan tegas bakal diambil – Wee Ka Siong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar menunjukkan sebuah lori merempuh beberapa buah kenderaan yang sedang beratur di Tambak Johor menghala ke Singapura, pagi ini.

PETALING JAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan segera menjalankan siasatan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) bagi insiden sebuah lori melanggar kenderaan lain Johor Bahru – Woodlands pagi tadi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya telah mengambil maklum berkenaan video tular mengenai kejadian tersebut dan tindakan tegas bakal diambil.

“Agensi di bawah Kementerian Pegangkutan, JPJ akan segera menjalankan siasatan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden ini.

“Sementara pihak PDRM akan membuat ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori tersebut,” ujarnya melalui satu hantaran di Facebook rasminya sebentar tadi.

Tambahnya, tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit jika didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, setelah JPJ melengkapkan audit ICOP.

Jelas Ka Siong lagi, ini termasuklah seperti menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Manakala pihak MIROS pula akan menyiasat dari aspek teknikal, untuk mencari punca kemalangan tersebut berlaku.

“Orang ramai yang berada di tempat kejadian semasa kemalangan tersebut berlaku diminta menyerahkan bukti-bukti seperti rakaman video jika ada, bagi membantu siasatan.

“Saya amat memandang serius kes-kes seperti ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak. Mana-mana pihak yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman tegas kerana ia membabitkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI