Oleh MUHAMMAD SYAHMI ABDULLAH
CAMERON Highlands yang terletak di Pahang sememangnya salah satu lokasi pelancongan paling popular di negara ini.
Memandangkan saya sudah begitu lama tidak berkunjung ke Cameron Highlands, saya mengajak tiga rakan lain untuk bercuti bersama.
Biarpun perancangan dibuat agak lewat, namun saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar dan mengikut ketetapan masa yang sudah dijadual.
Memandangkan percutian dirancang adalah pada hari bekerja, jalan tidak begitu sibuk dan kami tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk.
Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cameron Highlands mengambil masa sekitar tiga jam setengah dan kami tiba di kawasan Tanah Rata pada pukul 1 tengah hari.
Memandangkan perut pun sudah lapar, kami singgah sebentar di sebuah restoran menjual nasi campur di situ untuk makan tengah hari.

PANORAMA dari sebuah penginapan berkonsepkan Inggeris klasik di Tanah Rata.
Selesai makan, kami menuju ke sebuah ladang strawberi bagi memetik sendiri buah tersebut, namun nasib tidak menyebelahi kami apabila ia ditutup buat sementara waktu.
Selepas itu, kami terus menuju ke lokasi penginapan yang sudah ditempah yang terletak di Tanah Rata.
Selepas melepaskan lelah, kami mandi dan bersiap-siap untuk makan malam di sebuah restoran yang terletak berhampiran.
Menu yang dipesan adalah set nasi putih bersama tomyam dan beberapa lauk-pauk lain.
Cuaca pada malam itu mencecah 18 darjah Celsius dan cukup sejuk, menjadikan tekak kami mahukan masakan berkuah yang panas.
Selepas makan malam, kami pulang ke lokasi penginapan dan menghabiskan masa dengan menonton televisyen sambil menikmati angin malam.
Keesokan harinya, kami berempat bersiap sedia untuk mendaftar keluar daripada lokasi tersebut.

Kami sengaja mendaftar keluar lebih awal berbanding jadual bagi membolehkan menghabiskan lebih banyak masa di luar.
Lokasi pertama yang dikunjungi adalah sebuah kafe bernama Amsterdam Cafe yang menyajikan menu sarapan pagi ala Barat.
Kesemua menu yang dipesan cukup enak dan amat memuaskan hati kami.
Selepas cuaca mulai panas, kami menuju ke sebuah ladang teh yang terletak di Ringlet untuk melihat dan mencuba seleksi minuman teh yang ditawarkan di situ.
Kami menghabiskan masa agak lama di ladang teh tersebut kerana banyak merakam gambar sambil menikmati pemandangan yang cukup memukau.

PEMANDANGAN menarik dan cuaca sejuk yang dinikmati dari sebuah hotel lima bintang di Cameron Highlands.
Seterusnya, kami berkunjung ke ladang sayur-sayuran berdekatan untuk membeli tanaman seperti jagung susu, strawberi dan juga keledek segar untuk dibawa pulang ke ibu kota sebagai ole-ole.
Selesai membeli-belah, kami pun mencari lokasi makan tengah hari untuk mengisi perut yang mulai lapar sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur.














