PASIR MAS – Tiga lelaki warga Bangladesh dicekup selepas mereka dipercayai terlibat dengan kegiatan menanam sebatang pokok ganja di luar rumah kongsi mereka di ladang sayur-sayuran di Lojing, Gua Musang kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10.27 pagi itu, ketiga-tiga pekerja ladang berusia 23, 24 dan 34 tahun itu ditahan semasa mereka berada di dalam rumah kongsi tersebut.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pemeriksaan di dalam rumah berkenaan telah menjumpai satu lipatan akhbar yang mengandungi tumbuhan kering dipercayai dadah jenis ganja seberat 5.3 gram.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di kawasan luar rumah telah membawa kepada penemuan satu pokok ganja yang ditanam di dalam polibeg berwarna putih.
“Hasil siasatan mendapati, pokok ganja itu setinggi 40 sentimeter. Pekerja ladang sayur-sayuran tersebut dipercayai sudah enam bulan menanam ganja di kawasan tersebut.
“Selain itu, suspek dipercayai menanam ganja untuk kegunaan sendiri, namun kita tidak menolak kemungkinan mereka sedang dalam perancangan untuk menjual tumbuhan tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Kursus Tempur Jarak Dekat Siri 1/2022, Kontinjen Kelantan di Lapang Sasar Bukit Pak Junuh di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, suspek ujian saringan air kencing terhadap suspek berusia 24 dan 34 tahun mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang lagi positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
Katanya, anggaran keseluruhan rampasan termasuk ganja kering dan pokok ganja itu dianggarkan bernilai RM265.
Ujarnya, pemeriksaan mendapati, kesemua suspek yang ditahan mempunyai permit sah untuk bekerja di ladang sayur-sayuran tersebut.
Tambah Muhamad Zaki, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B akta yang sama. – KOSMO! ONLINE














