fbpx
Rajpal Singh (tengah) bersama perayu-perayu selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan jenayah terancang 'Geng Nicky' di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

14 individu ‘Geng Nicky’ lepas, bebas tuduhan jenayah terancang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini melepas dan membebaskan 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan, Nicky Liow Soon Hee atas pertuduhan terlibat dalam kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ lima tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said selepas peguam Datuk Rajpal Singh memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara  (AGC) telah menerima representasi 14 individu itu selaku perayu untuk melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan tersebut.

“Ini adalah keputusan sebulat suara, perintah Mahkamah Tinggi (terdahulu) melepas tanpa membebaskan diketepikan. Kesemua perayu-perayu dilepas dan dibebaskan,” kata hakim Kamaludin.

Semasa prosiding Rajpal Singh mewakili 13 perayu manakala seorang lagi perayu diwakili peguam Jasmine Cheong. 

Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar selaku responden tidak membantah dan mengesahkan representasi perayu-perayu telah diterima AGC.

Sementara itu, Rajpal Singh ketika ditemui selepas prosiding berkata pihaknya telah menghantar representasi tersebut pada 29 Jun lalu.

Pada 30 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas tanpa membebaskan 14 individu itu termasuk empat warganegara China daripada tuduhan tersebut. Mereka kemudian merayu terhadap keputusan itu memohon dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Hakim Datuk Abd. Halim Aman membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memohon agar kesemua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan, kerana pendakwaan berhasrat untuk meneruskan pertuduhan pada masa akan datang.

Dua tertuduh yang merupakan adik Nicky adalah Datuk Liow Wei Kin dan Datuk Liow Wei Loon, manakala tertuduh lain ialah Lee Han Keat, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Weng, Eee Eng Chee, Dr Jovian Joris Tan Chern Chian, Datuk Loo Siew Chin, Lim Kang Li, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming serta empat warga China Huang Lei, Wang Yu Jun, Gu Xing Qiong serta Jiang Xue, yang berusia awal 20-an hingga 56 tahun.

Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Januari 2017 dan 20 Mac 2021.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Andrew Lim didakwa membantu kumpulan jenayah sama di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Januari 2017 dan 29 Mac 2021, mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN