fbpx

Goh Jin Wei kini dalam kondisi terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JIN WEI berjaya melepasi aksi kelayakan dengan menewaskan Malvika untuk mara ke saingan pusingan pertama Malaysia Masters.

PERSEORANGAN wanita profesional negara, Goh Jin Wei berharap dapat menampilkan aksi terbaik selepas meloloskan diri ke pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2022.

Pada aksi kelayakan yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil semalam, juara remaja dunia dua kali itu mengetepikan cabaran pemain India, Malvika Bansod menerusi aksi straight-set 21-10, 21-17.

Jin Wei yang mengalami kecederaan ketika menyertai kejohanan pada Denmark Masters dan Kejohanan Antarabangsa Itali sebelum ini mengakui sudah pulih sepenuhnya, sekali gus tekad memperagakan aksi berkualiti di depan penyokong sendiri.

“Satu perlawanan yang cukup sukar untuk saya hari ini (semalam) kerana dia (Malvika) memberikan tentangan cukup baik, terutamanya pada set ke­dua. Permulaan yang cukup baik untuk saya di Malaysia Masters.

“Memang betul saya ada alami kecederaan hamstring dalam dua kejohanan sebelum ini, tetapi sekarang sudah pulih sepenuhnya. Saya mahu tampilkan aksi terbaik buat penyokong Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 itu meminta peminat tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kepadanya meskipun memiliki rekod cukup baik ketika beraksi pada edisi 2019.

Ketika itu, Jin Wei melakar kejutan terbesar apabila menewaskan juara Asia 2019 dari Jepun, Akane Yamaguchi dan pemain China, He Bingjiao sebelum tewas kepada jaguh Thailand, Ratchanok Intanon di separuh akhir.

“Kali terakhir saya bermain pada Malaysia Masters adalah tiga tahun lalu, jadi sekarang sudah berbeza kerana perlu menjaga pemakanan. Oleh itu, semua­nya akan bermula dari kosong,” ujarnya.

Menjelang aksi pusingan pertama yang dijadualkan berlangsung hari ini, pemain No.69 dunia itu bakal membuat perhitungan dengan pemain Amerika Syarikat (AS), Zhang Beiwen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI