fbpx

Melaka catat pelaburan RM2.6 bilion dalam sektor pembuatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (dua dari kanan) merasmikan bangunan baharu Infineon di Zon Perdagangan Bebas Batu Berendam, Melaka.

MELAKA –  Jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan di negeri Melaka mencatat sebanyak RM2.6 bilion bagi suku pertama 2022, demikian menurut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pengerusi Jawatankuasa Kanan Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof berkata, berdasarkan laporan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Melaka disenaraikan  di tempat kelima selepas Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Johor sebagai negeri terbaik dalam sektor pembuatan.

Menurut beliau, pelaburan terbesar diterima  daripada  Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd. (Infineon) yang telah bertapak sejak lebih 49 tahun sebagai pengeluar semikonduktor global dari Jerman.

“Selain di Melaka, Infineon  sudah melabur begitu lama di Kulim, Kedah dalam sektor pembuatan semikonduktor serta bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Sebagai sebuah kilang terbesar di Melaka, mereka telah menyediakan sebanyak 10,000 peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini.

“Sehubungan itu, Infineon telah menyatakan hasrat untuk terus bertapak di negeri ini dan bercadang untuk membuat pelaburan baharu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian Bangunan Baharu Infineon di Zon Perdagangan Bebas Batu Berendam di sini.

Ab. Rauf menambah, kerajaan negeri turut menyasarkan beberapa kawasan perindustrian baharu akan dibuka tidak lama lagi.

Jelasnya, setakat ini hanya Alor Gajah telah dikenal pasti sebagai kawasan perindustrian baharu melibatkan kawasan seluas 1,618 hektar.

“Kerajaan negeri ketika ini masih menunggu syarikat-syarikat dari luar negara untuk datang melabur hasil daripada pasaran-pasaran antarabangsa yang telah dibuat sebelum ini,” ujarnya. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI