fbpx

Pastikan saham BR 2.0 diagih mengikut kuota untuk B40, M40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noh (enam dari kiri) pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kopenas di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM- Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) akan melantik konsultan bagi memastikan BR 2.0 dapat dilaksanakan secara sistematik.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pelantikan konsultan ini bertujuan untuk memastikan saham BR 2.0 dapat diagih mengikut kuota untuk golongan B40, M40 dan lain-lain kumpulan.

“Pada dasarnya hasrat penubuhan BR 2.0 adalah untuk membolehkan Keluarga Malaysia melabur dan memiliki saham dalam koperasi sepertimana Bank Rakyat dengan jangkaan pulangan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Tahunan Kopenas di sini semalam.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan secara dasar menyokong penubuhan Koperasi Rakyat BR 2.0 Malaysia Berhad atau BR 2.0, sebuah entiti koperasi yang baharu ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Beliau berkata, BR 2.0 dijangka memainkan peranan lebih besar membantu membangunkan sektor koperasi serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Sementara itu mengulas mengenai peruntukan RM100 juta kepada koperasi untuk terlibat dalam industri agromakanan, Noh menerangkan, peruntukan tersebut akan diberi keutamaan kepada koperasi yang sudah lama bergiat dalam sesuatu industri  agromakanan.

“Kita akan membantu koperasi  yang aktif dalam industri makanan seperti ayam dan lain-lain untuk mereka menambah modal,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI