fbpx

Pencemaran punca 10 peratus kes kanser di Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pesakit kanser berusia enam tahun menonton kartun ketika berehat di dalam bilik sebuah hospital di Paris, Perancis pada 16 Mac 2021. - AFP

COPENHAGEN, DENMARK – Satu kajian baharu mendapati bahawa sebanyak 10 peratus daripada kes penyakit kanser di Eropah adalah berpunca daripada pencemaran udara, lapor akhbar Saudi Gazette, kelmarin.

Kajian dilakukan Agensi Alam Sekitar Eropah (EEA) itu buat pertama kali menemui hubung kait antara kanser dan alam sekitar yang dibuat berdasarkan bukti-bukti saintifik terhadap pencemaran, asap pasif, radon, asbestos dan radiasi sinaran ultra ungu (UV).

Hasilnya mendapati bahawa pendedahan ke atas pencemaran yang disebabkan faktor-faktor tersebut telah menjadikan hampir 2.7 juta pesakit baharu didiagnos dengan penyakit itu di Benua Eropah setiap tahun.

Selain itu, sebanyak 1.3 juta kematian setahun di seluruh rantau itu adalah disebabkan oleh kanser. Ia dalam masa sama membabitkan kos ekonomi sekitar €178 bilion (RM824.7 bilion) bagi tahun 2018 sahaja.

Bagi pencemaran udara (dalam dan luar bangunan), ia telah menyumbang sekitar satu peratus kepada kes kanser di Eropah serta mengakibatkan kematian berkaitan penyakit itu sebanyak dua peratus. 

Bagi radon pula, gas tidak berbau dan berwarna itu boleh menjejaskan orang ramai apabila mereka bernafas dalam udara yang datang melalui celahan dan rekahan bangunan dan rumah.

Pendedahan terhadap radon menyumbang sebanyak dua peratus daripada kes-kes kanser yang direkodkan di samping radiasi UV bertanggungjawab ke atas empat peratus kes kanser di Eropah.

Selain itu, pendedahan ke atas asap pasif boleh meningkatkan risiko keseluruhan bagi semua jenis kanser sehingga 16 peratus bagi individu yang tidak merokok. 

Akhir sekali, sebilangan bahan kimia industri yang dilepaskan ke alam sekitar turut menjadi penyumbang signifikan kepada kes kanser. Bahan-bahan tersebut termasuk plumbum, arsenik, kromium, kadmium, akrilamida, racun perosak dan Bisphenol A.

Menurut Pengarah Eksekutif EEA, Hans Bruyninckx, laporan tersebut turut menyatakan bahawa kesemua risiko yang digariskan mampu dicegah sekiranya Kesatuan Eropah (EU) mengambil tindakan segera.

“Mengurangkan pencemaran melalui Pelan Tindakan Pencemaran Sifar EU dan Strategi Kimia untuk Kelestarian serta pelaksanaan kukuh dasar EU sedia ada akan membantu mengurangkan kes dan kematian berkaitan kanser,” ujarnya. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI