fbpx

Glamping dalam khemah kubah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khemah kubah memberikan pengalaman glamping yang menyeronokkan.

JELEBU yang merupakan daerah kedua terbesar di Negeri Sembilan merupakan menyimpan khazanah alam semula jadi yang menenangkan, menjadikan ia sebagai antara salah satu lokasi percutian menarik buat pencinta alam semula jadi.

Konsep percutian ‘glamping’ yang mana pengunjung boleh berkhemah di dalam kubah putih di kawasan hutan semakin diminati, sekaligus mendorong seorang anak tempatan untuk mewujudkan konsep percutian tersebut di Jelebu.

The Hooton Retreat membuka pintunya kepada pelancong pada 2019 dengan menawarkan percutian berkonsepkan glamping yang cukup menarik.

Namun, menurut Bryan Gan yang merupakan pemilik premis itu, dia bagaimanapun terpaksa menutup lokasi percutian itu tidak lama selepas ia dibuka ekoran dunia yang dilanda pandemik Covid-19 pada 2020.

“Jelebu dipenuhi kawasan hutan atau alam semula jadi, menjadikan ia sebuah kawasan yang sesuai untuk bercuti dalam suasana penuh ketenangan.

“Ia juga terletak kurang dua jam daripada Kuala Lumpur, menjadikannya sebagai lokasi sesuai untuk warga kota yang mahu menikmati ketenangan tanpa perlu memandu terlalu jauh,” ujarnya yang menambah lokasi itu mula dibuka semula pada Oktober tahun lalu.

Mengulas lanjut, Gan berkata The Hooton Retreat menawarkan empat jenis penginapan yang terdiri daripada vila sehinggalah khemah berbentuk kubah.

Penginapan jenis kubah berwarna putih ini dihiasi dengan katil rotan bagi menyerlahkan elemen semula jadi.

Dua unit vila iaitu Villa Aegolius dan Villa Ninox menawarkan penginapan berkonsepkan moden dan mewah yang tenang dikelilingi alam semula jadi. 

Dinding-dinding kaca di sekelilingnya membolehkan pengunjung untuk melihat suasana alam semula jadi sambil merehatkan minda di situ.

Bagi pengunjung yang gemarkan konsep perkhemahan pula, mereka boleh memilih untuk menginap dalam khubah putih sama ada di dalam Dome Tyto ataupun Dome Otus.

“Dome Tyto merupakan suite bulan madu atau honeymoon suite dengan konsep glamping yang sesuai buat pasangan suami isteri yang mahu bercuti dalam suasana sedemikian.

“Dekorasinya adalah berkonsepkan rustic yang digabungkan dengan elemen rotan yang cukup cantik,” ujar Gan.

Kolam renang yang disediakan di premis ini.

Dome Otus pula menawarkan konsep hiasan moden dengan pilihan katil single, sesuai buat pengunjung yang bercuti bersama rakan-rakan.

Penginapan jenis terakhir iaitu Bubo Cote pula lebih sesuai buat pengunjung yang datang dalam bilangan ganjil seperti tiga atau lima orang memandangkan ia menempatkan ruang tidur berkumpulan dan katil jenis double decker.

Jelas Gan, The Hooton Retreat juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk dicuba pengunjung seperti menelusuri hutan, aktiviti memanah dan juga flying fox.

“Kesemua aktiviti ini disediakan di dalam premis ini.

“Namun, sekiranya pengunjung mahu melakukan aktiviti di lokasi pelancongan lain yang berdekatan, mereka boleh berkunjung ke air terjun Jeram Toi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari The Hooton Retreat atau mendaki Bukit Batu Sawa yang terletak 12 kilometer dari lokasi ini,” ujarnya.

Premis itu juga sesuai dijadikan lokasi percutian berkumpulan memandangkan ia boleh memuatkan sehingga 60 orang pada satu-satu masa.

Harga penginapan di The Hooton Retreat bermula daripada RM501.20 hingga RM2,852 mengikut jenis bilik.

Sebarang tempahan boleh dibuat dengan melayari laman web www.thehootonretreat.com, atau melalui emel di [email protected] atau menghubungi 019-2080633.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI