fbpx

Terima WhatsApp terakhir, kakak sempat nasihat mangsa memandu berhati-hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI JAINAH menunjukkan perbualan WhatsApp terakhirnya bersama arwah sebelum kejadian kemalangan semalam ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

KUANTAN – Siti Jainah Basiron, 45, kakak kepada mangsa kemalangan maut yang meragut nyawa lima sekeluarga di Jalan Kuantan–Segamat di sini tidak menyangka WhatsApp yang diterima daripada adiknya pada pagi hari kejadian menjadi mesej terakhir arwah kepadanya.

Menurut Siti Jainah, dia sempat berbalas WhatsApp dengan arwah adiknya, Muhammad Rosli Ibrahim, 33, kira-kira pukul 8.21 pagi hari kejadian selepas melihat status WhatsApp adik lelakinya itu.

“Tidak banyak yang kami bualkan cuma arwah memberitahu tujuan dia ke Pahang kerana mahu ke Pejabat Tanah di Pekan dan terus ke kampung isterinya di Felda Chini untuk menguruskan hal keluarga.

“Saya sempat menasihatinya untuk memandu dengan berhati-hati,”katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di sini, hari ini.

Katanya, dia sangat terkejut apabila dimaklumkan ahli keluarga di Perak mengenai kejadian menimpa mangsa kira-kira pukul 5 petang semalam.

Siti Jainah memberitahu kali terakhir mereka berjumpa ialah pada hari raya pertama di rumah ibunya di Kuala Kangsar, Perak yang mana mereka merancang untuk membaiki pendawaian elektrik rumah ibu.

“Arwah yang merupakan anak ke-10 daripada 13 adik-beradik sangat manja dengan kami semua. Saya antara yang kerap dihubungi memandangkan kakak yang menetap paling jauh di Kota Tinggi, Johor,”katanya.

Dalam pada itu, dia berkata amat terkilan apabila tiada lagi ucapan hari lahir daripada arwah seperti mana yang dilakukannya setiap tahun memandangkan hari ini adalah hari jadinya.

“Hari ini adalah hari lahir saya dan dia telah meninggal dunia, setiap tahun arwah tidak pernah lupa untuk mengucapkan hari lahir bukan sahaja buat saya malah adik-beradik yang lain,”katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.17 petang semalam, lima sekeluarga termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Corolla dan lori treler jenis Nissan, di Jalan Kuantan-Segamat dekat Kampung Pulau Manis, di sini.

Mangsa yang maut adalah Muhammad Rosli Ibrahim, 33 tahun; Isterinya, Nor Afikah Abdullah Sani, 35 tahun dan dua anak mereka, Nur Safwa Irdina berusia tujuh tahun dan Nur Sofea Rajda, enam tahun serta bayi berusia setahun dua bulan, Rizqy Ramadhan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI