fbpx

Seo Ji-jye sukarkan jadikan aksi cium nampak realistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEO JI-HYE dalam satu babak dalam drama Kiss Sixth Sense.

AKTRES popular Korea Selatan Seo Ji-hye tidak gentar, malah menikmati lambakan adegan ciuman dalam drama terbaharu lakonannya iaitu Kiss Sixth Sense.

Meskipun agak mencabar untuk melakonkan adegan romantis, Ji-hye cukup sedar babak ciuman adalah satu tuntutan dalam drama ini.

Menurut Ji-hye, wataknya sebagai Hong Ye-sul merupakan seorang wanita yang mampu melihat masa depan apabila bibirnya terkena mana-mana bahagian anggota badan orang lain, justeru adegan ciuman tidak boleh dielakkan.

“Secara jujurnya memang sangat sukar kerana memang banyak adegan ciuman terutama di penghujung drama. Babak ciuman sangat penting untuk menunjukkan secara terperinci hubungan antara watak.

“Paling sukar adalah setiap ciuman perlu kelihatan realistik. Sebenarnya babak ciuman pada permulaan drama dilakukan pada penghujung penggambaran, selepas kami banyak berlatih,” jelas Ji-hye.

SEO JI-HYE berasa lega apabila pasangan heronya, Yoon Kye-sang merupakan sahabat dan pernah bekerjasama dalam naskhah terdahulu dengannya.

Sungguhpun begitu, Ji-hye bersyukur kerana aktor gandingannya dalam drama fantasi berkenaan adalah Yoon Kye-sang, salah seorang rakannya.

Sebelum ini, Ji-hye dan Kye-sang pernah bekerjasama dalam drama My 19 Year Old Sister In Law pada 2004.

“Selepas 17 tahun kami bertemu kembali dalam sebuah drama. Mulanya rasa pelik, tetap kami selesa dan hubungan cepat akrab.

“Walaupun banyak babak romantis bersama, kami tidak rasa pelik kerana telah biasa antara satu sama lain. Memang sukar, tetapi saya teruja kami mempunyai keserasian yang baik. Situasinya mungkin agak berbeza jika pelakon itu bukanlah orang yang saya rapat,” ujar Ji-hye.

Disoal apakah persediaan yang dilakukan sebelum melakonkan babak ciuman, sambil tertawa kata Ji-hye, mereka akan menjaga bibir supaya kelihatan sihat dan menarik di dalam kamera.

Selain itu, mereka tidak akan makan makanan yang miliki bauan yang kuat supaya tidak mengganggu keselesaan pelakon gandingannya.

BINTANG utama drama Kiss Sixth Sense, dari kiri Kim Ji-seok, Seo Ji-hye dan Yoon Ke-sang.

Realiti

Saat ditebak adakah dalam dunia realiti, Ji-hye menginginkan kuasa seperti mana watak lakonannya dalam drama Kiss Sixth Sense, sambil tersenyum dia menggelengkan kepalanya.

“Saya tidak terfikir jika dalam dunia realiti adakah saya inginkan kuasa istimewa ini. Kesimpulannya, andai saya miliki kuasa magis, kelebihan tersebut tidak akan banyak mengubah kehidupan saya.

“Pada akhirnya, cerita kehidupan saya berdasarkan tindakan sendiri. Jadi, jika ada pun rasanya tidak begitu penting. Kehidupan lebih menarik jika ada kejutan dan cabaran,” kongsi Ji-hye yang juga bintang drama Crash Landing On You itu.

Berkongsi tentang perjalanan penggambaran, aktor Kye-sang yang membawakan watak Cha Min-hoo menjelaskan, biarpun drama berkenaan diadaptasi daripada drama web novel popular, sebagai pelakon dia hanya memberi fokus kepada skrip drama.

“Saya memilih untuk tidak membaca novel tersebut supaya tidak mengganggu perjalanan watak. Walaupun drama ini diadaptasi daripada web novel, tetapi bagi saya versi drama adalah sebuah karya yang berbeza.

“Sebagai pelakon saya berpegang pada skrip sahaja, oleh itu saya tidak merasai sebarang tekanan ketika penggambaran sebaliknya seluruh produksi mempunyai masa yang menyeronokkan,” kata Kye-sang.

Sementara itu, aktor Kim Ji-seok, 41, pula berkongsi keterujaan apabila kembali memegang watak pemuda berusia 20-an dalam naskhah ini.

“Jika hendak kata cabaran, apa yang boleh dikongsikan adalah saya perlu melakonkan watak lelaki berusia 20-an.

“Terkejut, tetapi saya bersyukur kerana masih menerima kepercayaan untuk memegang watak orang muda pada usia sekarang.

“Saya berjenaka dengan pengarah memintanya meletakkan kesan khas supaya saya kelihatan lebih muda di skrin,” tutur Ji-seok sambil ketawa.

Drama Kiss Sixth Sense mula ditayangkan menerusi penstriman popular, Disney+ Hot Star sejak 25 Mei lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI