fbpx

Fokus pada yang sudi berbakti untuk negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUHAMMAD HELMEE RAMLI, WARTAWAN EKSEKUTIF

ARENA sukan negara ketika ini sedikit kecoh selepas pemain badminton perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia mengambil keputusan menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 bagi memberi tumpuan kepada Kejohanan Badminton Dunia.

Difahamkan, pemain yang berada pada ranking kelima dunia itu terpaksa mengambil keputusan sedemikian bagi menjaga tahap kecergasan memandangkan Kejohanan Dunia akan bermula 13 hari selepas temasya Sukan Komanwel melabuhkan tirainya.

Keputusan yang dibuat Zii Jia sedikit sebanyak mengganggu perancangan skuad badminton negara yang menganggap peluang untuk membawa pulang dua pingat emas lebih cerah jika pemain profesional itu turut serta.

Bagaimanapun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terpaksa akur dengan keputusan yang dibuat dan mengambil langkah mempertaruhkan pemain muda, Ng Tze Yong bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Bagi penulis, adalah lebih baik skuad badminton negara membariskan pemain yang sedia menggalas misi secara sukarela berbanding terlalu mengharapkan kepada pemain yang sudah ada perancangan sendiri.

Secara jujur, Zii Jia juga sedang ‘tersepit’ untuk memilih sama ada menyer­tai Sukan Komanwel atau Kejohanan Dunia, namun ketika ini mungkin dia melihat peluang terbaik untuk menjadi pemain Malaysia pertama memenangi gelaran dunia.

Justeru, kita perlu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Tze Yong biarpun pemain berusia 22 tahun itu tidak diletakkan sebagai prospek pingat emas pada temasya sukan empat tahun sekali.

Legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei juga meminta orang ramai supaya menghormati keputusan dibuat Zii Jia memandangkan dia tidak terikat dengan mana-mana tugasan skuad negara kerana sudah bergelar pemain profesional.

“Zii Jia adalah seorang pemain profesional, jadi terpulang kepadanya sama ada untuk memi­lih beraksi untuk pasukan negara atau tidak.

“Secara peribadi, saya sentiasa melihat Sukan Komanwel sebagai salah satu kejohanan berprestij kerana diadakan empat tahun sekali. Adalah satu penghormatan jika dapat sumbang pingat emas buat kontinjen Malaysia,” katanya.

Walaupun ada sesetengah pihak mempersoalkan semangat patriotik Zii Jia selepas menolak panggilan skuad negara ke Sukan Komanwel, namun penulis berpendapat dia turut membawa nama Malaysia pada Kejohanan Dunia nanti.

Oleh itu, kita semua perlu menghormati keputusan yang dibuat bekas pemain naungan BAM itu dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya.

Pada masa sama, penulis berpendapat Zii Jia mengambil langkah tepat apabila tidak membuat kenyataan balas terhadap beberapa reaksi yang diberikan oleh pelbagai pihak.

“Berhubung isu tersebut, saya mahu jelaskan buat kali terakhir. Sekiranya anda jangka saya akan membalas kenyataan-kenyataan tersebut, harap maaf kerana saya tidak mahu menjawab.

“Saya adalah pemain profesional dan mahu jauhkan diri daripada isu-isu sedemikian. Selain itu, saya mahu jadi inspirasi kepada anak-anak muda di Malaysia. Fokus saya sekarang ha­nyalah untuk bermain badminton,” ujar Zii Jia.

Secara kesimpulan, tidak kira­lah sama ada pemain itu berada di bawah naungan BAM ataupun tidak, mereka semua beraksi di bawah satu bendera dan nama Malaysia akan disebut sebaik sahaja mereka berdiri di atas podium.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI