fbpx

ERKC bantu pemuliharaan biodiversiti bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SULTAN SHARAFUDDIN (tiga dari kiri) berkenan melancarkan Pusat Ilmuan Hutan Hujan Tropika Elmina di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

AMALAN pemuliharaan alam sekitar perlu diterapkan di mana-mana sahaja, tidak kira di luar bandar atau bandar.

Bagaimanapun, persekitaran bandar yang sering dikaitkan dengan pencemaran dan kekurangan tumbuhan hijau, amalan menjaga serta memulihara alam itu dilihat cukup signifikan.

Menyahut usaha pemuliharaan biodiversiti bandar, Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) baru-baru ini telah melancarkan sebuah pusat ilmuan dinamakan Pusat Ilmuan Hutan Hujan Tropika Elmina atau Elmina Rainforest Knowledge Centre (ERKC).

Pusat ilmu itu yang turut dikenali sebagai Ambang Warisan Semula jadi Malaysia terletak di kawasan berkeluasan 1.09 ekar (0.4 hektar) di perbandaran City of Elmina milik Sime Darby Property di Shah Alam, Selangor.

Pusat yang boleh dikunjungi orang ramai itu mempromosikan tindakan pemuliharaan biodiversiti bandar, penyelidikan dan pembangunan untuk kefungsian ekologi, pendidikan alam sekitar serta ekopelancongan di samping usaha hijau yang lain.

Inisiatif ini memperkasa lagi usaha syarikat untuk menanam 50,000 pokok terancam yang disenarai merah oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN) menjelang tahun 2030.

Menerusi pusat ilmu ini, pengunjung boleh meningkatkan pengetahuan tentang alam semula jadi.

Pusat ilmu tersebut telah dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

DIKENALI sebagai Ambang Warisan Semula jadi Malaysia, penubuhan ERKC yang berkeluasan 0.4 hektar menunjukkan komitmen bagi memulihara alam sekitar.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, syarikat amat menitikberatkan pembangunan serta amalan-amalan mampan di semua perbandarannya.

“Di samping pelan tindakan perubahan iklim, amalan-amalan biodiversiti cemerlang penting untuk sesebuah organisasi dalam merencana pelan kesinambungan jangka masa panjang yang lebih khusus untuk memberi impak positif kepada alam sekitar.

“Sime Darby Property menekankan biodiversiti sebagai salah satu daripada empat imperatif utama dalam strategi kemampanan syarikat. Kami akan melaksanakan pelbagai usaha, inisiatif serta program bagi meningkatkan nilai di perbandaran-perbandaran kami serta aktiviti memelihara ekosistem dan kelestarian alam semula jadi,” katanya.

Tambahnya, ERKC adalah antara usaha utama syarikat dalam merealisasikan aspirasi ini.

Terdahulu, pada tahun 2019, Sime Darby Property telah bekerjasama dengan Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC) untuk membangunkan ERKC serta Elmina Living Collection Nursery (ELCN) sebagai stor genetik bagi penghasilan serta pemuliharaan spesies-spesies pokok dikategorikan sebagai hampir pupus, jarang dan terancam oleh IUCN.

Sejak permulaan operasinya pada Oktober 2020, TRCRC telah berjaya membesarkan 187 spesies tumbuhan, dengan lebih 35,000 benih disemai serta 10,000 anak-anak pokok disimpan.

Sejak tahun 2011, Sime Darby Property telah menanam lebih daripada 120,000 pokok di perbandarannya dalam usaha mengurangkan kesan-kesan perubahan iklim.

Untuk memperkasa usaha ini, mereka telah berikrar untuk menanam 50,000 pokok terancam yang disenarai merah oleh IUCN menjelang tahun 2030 dan hingga tahun lalu, lebih 21,000 daripada pokok-pokok ini telah pun ditanam.

ERKC turut menyediakan ruang untuk komuniti setempat melibatkan diri mereka dalam aktiviti- aktiviti pembelajaran mengenai pemuliharaan alam semula jadi yang memberi impak, mendidik generasi muda dan orang ramai tentang kepentingan alam sekitar selain bertindak sebagai hab sumber dan penyelidikan untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hijau dan badan-badan lain.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif TRCRC, Dr. Dzaeman Dzulkifli berkata, manusia tidak boleh wujud secara berasingan daripada biodiversiti.

“Kita bergantung kepada semua perkhidmatan ekosistem yang biodiversiti sediakan. Pendekatan yang seimbang terhadap pembangunan bandar dan pemuliharaan alam sekitar diperlukan untuk memudahkan kewujudan bersama yang lebih baik dengan alam semula jadi.

“Kerjasama dengan NGO dan rakan kongsi yang berbeza serta komuniti adalah penting untuk membina daya tahan iklim,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI