fbpx

50 tahun gadai nyawa guna jalan rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alek (tengah) bersama wakil Orang Asli menunjukkan surat aduan masalah jalan rosak yang dihantar kepada KPLB di Pos Balar, Gua Musang semalam.

GUA MUSANG – Lebih 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di 13 buah kampung di Pos Balar di sini merayu pihak kerajaan menaik taraf jalan perhubungan ke kampung mereka.

Menurut mereka, laluan itu berdepan masalah kerosakan yang teruk sehingga menjejaskan aktiviti dan kehidupan harian penduduk sejak lebih 50 tahun lalu.

Penghulu Kampung Perawas, Pos Balar, Alek Busu, 60, berkata, mereka sudah lama menanti pihak kerajaan membina jalan yang selesa bagi memudahkan mereka melakukan urusan di bandar Gua Musang termasuk ke hospital dan sekolah.

Katanya, penduduk Orang Asli berharap pihak kerajaan dapat memenuhi hasrat mereka selepas sekian lama terpaksa bergadai nyawa melalui jalan yang rosak dan berlubang.

“Jalan ini amat penting kerana menjadi laluan keluar masuk kami setiap hari untuk hantar pesakit dan pelajar sekolah.

“Apabila kami buat aduan kepada pihak berkuasa, mereka seolah-olah tidak ambil endah. Guru yang masuk mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar turut berdepan masalah apabila motosikal dan kereta sering terbalik,” katanya.

Penghulu Kampung Manjun, Aja Along, 69, pula mendakwa, mereka dijanjikan dengan Projek Pembangunan Bersepadu di perkampungan Orang Asli Gua Musang termasuklah pembinaan infrastruktur jalan sebelum ini.

Katanya, setakat ini mereka tidak tahu mengenai status dan perkembangan projek berkenaan.

“Ketika musim tengkujuh baru-baru ini, pelajar dari Pos Balar bertolak pada pukul 3 petang untuk ke asrama dan pukul 5 pagi baharu sampai di bandar Gua Musang disebabkan jalan rosak,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa dari Pos Balar, Kamal Alek, 36, pula berkata, selaku ibu bapa, mereka amat risau mengenai keselamatan anak-anak.

Katanya, mereka sudah membuat surat aduan kepada pihak berwajib mengenai masalah jalan ke perkampungan Orang Asli.

“Kami sekali lagi menghantar surat aduan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada Mac lalu supaya mengambil tindakan untuk menaik taraf jalan kampung Orang Asli yang amat teruk.

“Selain Pos Balar, pos penempatan yang masih menggunakan jalan balak ialah Pos Belatim, Pos Hau, Pos Bihai, Pos Gob, Pos Simpor, Pos Pasik dan Pos Tohoi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI