fbpx

Tiada keserasian punca Nikki, Audi Mok bercerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyanyi, Nikki Palikat mendedahkan sudah bercerai Mac tahun lalu dengan bekas suami yang juga merupakan komposer, Audi Mok.

PETALING JAYA – Tiada keserasian menjadi punca perceraian penyanyi Nikki Palikat dan komposer, Audi Mok apabila mereka turut mendedahkan sudah tidak lagi menggalas status suami isteri sejak Mac 2021.

Nikki atau nama sebenarnya, Nicolette Louisa Palikat memberitahu, bukan mudah buat dirinya mendepani fasa perceraian namun selepas 12 tahun berkahwin, dia terpaksa melepaskan tanggungjawab sebagai isteri kepada komposer itu.

“Benda ini bukan mudah untuk saya cerita. Biar saya cerita sekali, lepas ini tak nak lagi cerita.

“Memang tiada keserasian. Tapi, mungkin saya berkahwin pada usia yang begitu muda dan saya sendiri tak mengenali diri sendiri.

“Mungkin selepas hidup bersama untuk beberapa tempoh, baru saya menjadi semakin matang dan sedar, sebenarnya banyak percanggahan yang berlaku termasuk perselisihan disebabkan tiada keserasian antara kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di pejabat Indigital Music di sini sebentar tadi.

Jelas pelantun lagu Sudah itu lagi, dia memendam perasaan lebih 10 tahun sebelum nekad untuk bercerai dengan suami.

“Saya pendam benda ini lebih daripada 10 tahun dan cuba juga untuk memperbetulkan keadaan namun kalau tiada jodoh dan keserasian, cuba macam mana sekalipun ia takkan berhasil.

“Sungguhpun sebagai suami isteri kami tak bahagia tapi sebagai satu keluarga dan kawan kami okey.  Saya bertahan selama ini semua sebab anak. Saya tak boleh tipu diri sendiri dan saya percaya, begitu juga dengan dia (Audi),” ujarnya.

Ditanya sama ada pernah mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan pakar kaunseling, Nikki berkata, mereka banyak kali bertemu kaunselor, namun masih tiada jalan penyelesaian terbaik.

“Pihak kaunselor pun tak tahu nak cakap apa sebab hubungan kami sangat baik sebagai ibu bapa dan sahabat. Cuma, masalah utamanya adalah sebagai suami isteri kerana tiada keserasian,” katanya.

Sementara itu, Audi memaklumkan, barangkali juga, kesibukan kerjaya membuatkan perkahwinannya dengan Nikki menemui kegagalan.

“Ya, tak nafikan saya memang sibuk dengan kerja hingga membuatkan hubungan sebagai suami isteri mula dingin,” ujarnya.

Terdahulu, Nikki dalam satu temu bual program hiburan mengesahkan sudah bercerai dengan Audi sekitar tempoh pandemik baru-baru ini.

Sekadar info, Nikki dan Audi atau nama sebenarnya Audi Mok Chuang Yew mendirikan rumah tangga sekitar tahun 2009. Hasil perkahwinan, pasangan tersebut dikurniakan seorang anak lelaki, Liam pada 27 Oktober 2010. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI