fbpx

Penyelesaian isu harga susu formula mampu atasi masalah bantut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaludin.

PUTRAJAYA- Harga susu formula dan makanan protein menjadi antara perkara penting yang akan diberi tumpuan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menjayakan usaha mengatasi masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, masalah bantut tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja memberi cabaran kesihatan mental, fizikal mahupun pergaulan sosial tetapi lebih buruk, masalah bantut boleh membawa maut.

Beliau berkata, atas isu itu, pihaknya mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kanak-Kanak di Malaysia yang dianggotai KKM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Msyarakat dan Kementerian Perpaduan Negara.

Katanya, Malaysia sedang berdepan dengan masalah beban berganda malpemakanan di mana terdapat peningkatan kepada masalah kekurangan pemakanan dalam kalangan kanak-kanak bawah 5 tahun serta peningkatan kadar obesiti dalam kalangan dewasa.

“Masalah ini berlaku hampir di semua negeri dengan peratusan tertinggi dicatatkan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Putrajaya. Ini menunjukkan masalah ini merentasi semua kategori sosiodemografi sama ada di bandar atau luar bandar, pendapatan isi rumah, kumpulan etnik, pekerjaan dan tahap pendidikan.

“Kita akan mencari jalan penyelesaian melalui jawatankuasa ini kerana mahu memastikan akses harga makanan protein dan susu mampu milik. Senang sahaja mahu meminta ibu bapa beli susu tetapi isunya, harga yang tidak mampu,” katanya ketika diminta mengulas isu harga susu formula bagi mengatasi masalah bantut pada sidang akhbar sempena pelancaran Program Media #AnakMalaysiaSihat di pejabatnya hari ini.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai isu bantut di Putrajaya, Khairy berkata, isu di Putrajaya perlu kajian mendalam bagi mengenalpasti faktor sebenar.

“Pelbagai faktor lain mempengaruhi kadar bantut seperti kadar celik kesihatan, persekitaran, budaya kerja, dan akses kepada penjagaan kanak-kanak.

“Ada sesuatu yang tidak betul kenapa Putrajaya dikenali antara yang mempunyai pendapatan tinggi di Malaysia tetapi berhadapan masalah bantut dan obesiti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI