fbpx

Cacar monyet bukan kecemasan kesihatan global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas kesihatan menyaring penumpang luar negara yang baru tiba di lapangan terbang di Chennai, India, pada 3 Jun lalu. - AFP

GENEVA, SWITZERLAND – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menamakan wabak cacar monyet sebagai ‘kecemasan kesihatan global’ meskipun ancaman penularannya semakin membimbangkan.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada jawatankuasa pakar yang memberi pandangan mengenai keadaan wabak tersebut.

“Jawatankuasa kecemasan berkongsi kebimbangan serius mengenai skala dan tahap kepantasan penularan wabak cacar monyet buat masa ini.

“Mereka memberi nasihat kepada saya bahawa setakat ini, wabak tersebut bukan merupakan Kecemasan Kesihatan Awam Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), yang merupakan tahap amaran tertinggi dikeluarkan WHO.

“Namun, penubuhan jawatankuasa itu sendiri menunjukkan bahawa kebimbangan semakin meningkat mengenai penularan antarabangsa wabak cacar monyet,” kata Tedros.

WHO mendefinisikan PHEIC sebagai peristiwa luar biasa yang membentuk risiko kesihatan awam kepada negara-negara lain menerusi jangkitan penyakit secara global serta berpotensi memerlukan tindak balas antarabangsa yang diselaraskan. 

Tambah WHO, wabak itu merupakan ancaman kesihatan yang berkembang serta memerlukan tindakan segera diambil. Ia penting bagi menghentikan penularan menggunakan kaedah pengawasan, pengesanan kontak, pengasingan dan penjagaan pesakit serta memastikan vaksin dan rawatan tersedia untuk populasi berisiko.

“Sebahagian besar kes dikesan dalam kalangan lelaki yang mengamalkan hubungan sejenis, terutamanya di kawasan bandar dalam rangkaian sosial dan seksual berkelompok,” demikian menurut laporan WHO dalam mesyuarat tersebut.

Peningkatan kes cacar monyet telah dikesan sejak awal Mei lalu di luar negara-negara Afrika Barat dan Tengah, di mana wabak itu telah dianggap sebagai endemik sejak sekian lama.

Kebanyakan daripada kes penularan baharu berlaku di Eropah Barat dengan lebih 3,200 kes disahkan dan satu kematian dilaporkan di lebih 50 buah negara tahun ini. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI